Pasar Sejahtera Rakyat Perak Bantu Ringankan Kos Sara Hidup
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz hari ini turun padang meninjau pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat yang berlangsung di Pekan Trolak.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan membantu meringankan perbelanjaan harian rakyat, khususnya penduduk di sekitar Trolak.
“Alhamdulillah, pagi ini saya berkesempatan sarapan pagi sambil turun melihat sendiri Pasar Sejahtera Rakyat yang berlangsung di Pekan Trolak.
“Syukur, penduduk di sekitar Trolak dapat menikmati pelbagai barangan dengan diskaun sehingga 30 peratus.
“Inisiatif seperti ini sememangnya memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam membantu meringankan perbelanjaan harian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Zaidi turut menyantuni 100 pelanggan terawal dengan memberikan satu pek gula kepada setiap penerima.
“Lebih menarik pagi ini, saya turut berkesempatan memberikan 1 pek gula kepada 100 orang pelanggan terawal yang hadir ke Pasar Sejahtera Rakyat.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan menjayakan program ini. Semoga usaha sebegini dapat terus memberikan manfaat kepada masyarakat setempat,” ujar beliau.
Untuk rekod, Pasar Sejahtera Rakyat Perak dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Mei lalu merupakan inisiatif payung subsidi bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah kesan krisis tenaga global.
Inisiatif itu melibatkan penjualan barangan kering dan basah dengan harga sekurang-kurangnya lima peratus lebih rendah berbanding pasaran setempat dan dilaksanakan di bawah Fasa 1 Langkah Mitigasi Impak Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026. – UMNO Online
