Malaysia-Fiji Perkukuh Hubungan Dua Hala
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Malaysia dan Fiji terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pembangunan modal insan, perhutanan, tenaga boleh baharu serta kebudayaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara itu dibincangkan ketika beliau menghoskan makan tengah hari bagi meraikan lawatan kerja Menteri Luar Negeri dan Perdagangan Luar Republik Fiji, TYT Sakiasi Raisevu Ditoka ke Malaysia, semalam.

“Kami berbincang usaha untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Fiji, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan modal insan, perhutanan, tenaga boleh baharu, dan kebudayaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurut beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, selain mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara Pasifik.
“Juga bertukar-tukar pandangan dalam isu-isu serantau dan antarabangsa, serta mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara Pasifik,” katanya.
Dalam pada itu, hubungan perdagangan Malaysia-Fiji turut mencatatkan jumlah dagangan dua hala sebanyak RM880.01 juta pada tahun 2025.
Daripada jumlah tersebut, eksport Malaysia ke Fiji bernilai RM867.92 juta. – UMNO Online
