ADUN Behrang Terus Perjuang Kemudahan Rakyat, Perkasa Modal Insan
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Keperluan rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin yang memberi perhatian terhadap isu kemudahan asas selain memperkukuh usaha pembangunan modal insan di kawasan berkenaan.
Pendekatan tersebut selaras dengan komitmen untuk memastikan pembangunan di kawasan Behrang bukan sahaja melibatkan aspek fizikal dan penyediaan infrastruktur, malah turut memberi ruang kepada masyarakat meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan serta memperbaiki taraf kehidupan.
Dalam lawatan tapak Projek Membina dan Menyiapkan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Ulu Slim, Salina meninjau perkembangan projek berkenaan selain memberi perhatian terhadap isu bekalan air yang masih belum disalurkan ke kawasan perumahan tersebut.

Menurut beliau, penyelesaian isu bekalan air perlu diberi keutamaan bagi memastikan kemudahan asas dapat disediakan dengan sempurna dan penduduk menikmati bekalan air seperti yang sepatutnya.
“Insya-Allah, dengan kerjasama FELCRA serta agensi-agensi berkaitan, usaha sedang digerakkan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk membolehkan bekalan air disalurkan ke kawasan ini.
“Kak Ina akan terus mengikuti perkembangan dan membantu menyelaras perkara yang berkaitan sehingga isu ini dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, perhatian terhadap kemudahan asas rakyat merupakan perkara penting dalam memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Dalam perkembangan sama, Salina turut menghadiri Majlis Penyerahan Mock Cheque Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Datuk Salbiah Mohamed atas komitmen berterusan dalam memperkasa masyarakat melalui peluang pembangunan kemahiran, keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Katanya, peluang yang disediakan menerusi program berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk meningkatkan keupayaan diri dan ekonomi keluarga.
“Kak Ina percaya, apabila ruang dan peluang diberikan, ia mampu membuka jalan kepada lebih ramai rakyat untuk meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan serta membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap segala peruntukan dan inisiatif yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima serta diterjemahkan kepada pelaksanaan program yang benar-benar memberi impak kepada masyarakat.
“Komitmen berterusan itu penting bagi memastikan agenda Perak Sejahtera 2030dapat diterjemahkan di peringkat akar umbi, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di Behrang,” ujarnya. – UMNO Online
