UMNO Perkukuh Kesatuan Saf, Bina Keyakinan Rakyat

BALING, 10 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kekuatan UMNO terletak pada kesatuan saf serta kesungguhan seluruh jentera parti untuk terus bekerja dan berkhidmat demi rakyat.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Baling 2026, di sini semalam.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, semangat serta kesatuan yang ditunjukkan oleh seluruh perwakilan merupakan kekuatan penting yang perlu terus dipelihara dan diterjemahkan menerusi gerak kerja tersusun di peringkat akar umbi.

“Saya menghargai semangat serta kesatuan yang ditunjukkan oleh seluruh perwakilan. Ini merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara dan diterjemahkan melalui gerak kerja yang tersusun di akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpesan kepada seluruh jentera UMNO supaya sentiasa turun padang dan mendekati rakyat, tanpa hanya menunggu sehingga pilihan raya tiba.
Katanya, keyakinan rakyat perlu dibina secara berterusan melalui kerja dan khidmat yang konsisten.

“Kita jangan hanya menunggu apabila pilihan raya tiba. Sebaliknya, bina keyakinan rakyat melalui kerja yang konsisten dari sekarang,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinan bahawa UMNO Bahagian Baling mampu terus menjadi antara kekuatan penting UMNO di Kedah.

Beliau berkata kesatuan, disiplin dan semangat berkhidmat perlu terus menjadi asas kepada gerak kerja parti bagi memastikan momentum perjuangan UMNO dapat diperkukuhkan.

“Saya yakin UMNO Baling mampu terus menjadi antara kekuatan penting UMNO di Kedah. Dengan kesatuan, disiplin dan semangat berkhidmat, insya-Allah kita mampu membina momentum yang lebih kukuh untuk perjuangan seterusnya,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO