S. Leza Buktikan Keprihatinan, Terus Dekati Masyarakat Pilah
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Baharu sahaja dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, S. Leza Md Yasin terus turun padang mendekati masyarakat menerusi aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan di kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah menerusi perkongsian di Facebook berkongsi beberapa aktiviti ziarah kebajikan yang dilakukannya termasuk mangsa kemalangan dan pesakit di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.
“Pagi ini saya berkesempatan menziarahi saudara Muhammad Hafiz Bin Kamarudin dari Kampung Parit, Kuala Pilah yang sedang menerima rawatan di Unit Penyelarasan Pelaksanaan HTAN selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam.
“Saya doakan semoga saudara Hafiz terus kuat, dipermudahkan segala urusan rawatan dan diberikan kesembuhan yang segera.
“Buat keluarga, teruslah kuat dan tabah menghadapi ujian ini. Insya-Allah, kita sama-sama doakan yang terbaik buat saudara Hafiz,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, S. Leza turut sama meluangkan masa bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Muhammadiah Kampung Gemetir dan warga kampung bagi aktiviti gotong-royong membersihkan surau berkenaan.
Menurutnya, semangat kejiranan seperti itu perlu terus disuburkan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah petang ni berkesempatan bersama-sama AJK surau dan warga Kg Gemetir bergotong-royong membersihkan Surau Al-Muhammadiah.
“Terima kasih kepada semua yang turun padang dan meluangkan masa.
“Inilah semangat kejiranan yang kita mahu terus suburkan… surau bersih, hati pun lapang, ibadah tenang,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, S. Leza turut turun meninjau sebuah rumah di Kampung Cheriau yang mengalami kerosakan selepas sebahagian bumbung rumah berkenaan tercabut akibat dilanda ribut.
Beliau berkata, kejadian tersebut telah dimaklumkan kepada Pegawai Daerah (DO) Kuala Pilah bagi membolehkan tindakan dan bantuan segera disalurkan kepada keluarga yang terjejas.
“Turun meninjau sebuah rumah di Kampung Cheriau yang mengalami kerosakan apabila sebahagian bumbung tercabut akibat ribut.
Terdahulu, S. Leza pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dengan majoriti 730 undi selepas memperoleh 6,830 undi berbanding 6,100 undi yang diraih pencabarnya. – UMNO Online
