BN Terus Jadi Pilihan, Kekal Kestabilan Masa Depan – Saifullah Ali

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Barisan Nasional (BN) bukan parti yang menagih simpati atau menumpang kekuatan mana-mana pihak, sebaliknya kekal sebagai antara kuasa politik paling stabil dan berpengalaman sehingga parti-parti lain sendiri melihat BN sebagai rakan penting dalam menentukan hala tuju politik negara.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Saifullah Ali berkata, hakikatnya pelbagai gabungan politik bersedia membentuk persefahaman dengan BN membuktikan kedudukan serta nilai strategik gabungan masih kukuh dalam landskap politik negara.

Katanya, kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) dan BN-Perikatan Nasional (PN) bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya memperlihatkan BN mempunyai kekuatan politik, pengalaman dan kestabilan yang sukar dinafikan.

“Barisan Nasional (BN) adalah parti yang paling stabil di dalam negara ini. Sehingga menarik minat semua parti-parti yang ada dalam negara ini untuk bersama-sama membuat persefahaman seperti BN-PH dan BN-PN.

“Kalau BN tidak mempunyai kekuatan dan nilai politik, tidak mungkin parti-parti lain datang untuk mencari titik persefahaman dengan BN.

“Inilah realiti yang sebenarnya. BN bukan parti yang perlu mengejar sesiapa, sebaliknya parti-parti lain melihat BN sebagai sebuah gabungan yang mempunyai kekuatan, pengalaman dan kestabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan sayap Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh yang bertempat di D’Kuala Resort, Pasir Puteh,baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Saifullah yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh menjelaskan, pengalaman panjang BN dalam pentadbiran negara serta keupayaan menghadapi perubahan politik membuktikan gabungan itu mempunyai ketahanan yang tidak mudah digugat.

“Politik boleh berubah, kerajaan boleh bertukar, tetapi pengalaman dan kekuatan parti bukannya boleh  dibina dalam sehari.

“Sebab itu, apabila sampai kepada soal kestabilan dan pembentukan persefahaman, BN tetap menjadi antara parti yang dicari.

“Jangan cuba nafikan realiti ini. Kedudukan BN kini membuktikan masih mempunyai nilai politik yang besar dan mampu menjadi penentu kepada kestabilan negara,” tegasnya.

Seterusnya Saifullah turut mengingatkan bahawa kekuatan BN perlu terus diperkasakan dari akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda, agar parti itu tidak sekadar menjadi sebahagian daripada sejarah politik negara tetapi terus menjadi kuasa yang menentukan masa depan Malaysia.

“BN tidak perlu meminta pengiktirafan daripada sesiapa. Kekuatan BN terserlah apabila pihak lain sendiri datang untuk mencari persefahaman.

“Itulah hakikat yang perlu diterima. BN bukan pelengkap, bukan penumpang dan bukan parti picisan. BN adalah antara tiang seri penting dalam memastikan politik negara kekal stabil,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO