21 Kerusi BN Melaka Harus Dipertahankan Atas Amanah – Nurul Amirah
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusof mempertikaikan kenyataan segelintir pihak yang melabel Barisan Nasional (BN) sebagai tamak hanya kerana bertegas mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.
Ujarnya, dakwaan sedemikian bukan sahaja mengelirukan, malah mencerminkan kegagalan memahami prinsip asas demokrasi dan penghormatan terhadap mandat rakyat.
“Jangan keliru antara mempertahankan amanah dengan ketamakan. Amanah datang daripada rakyat. Ketamakan pula datang apabila mahu mengambil sesuatu yang bukan hak.
“Mempertahankan hak bukan bererti tamak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Nurul Amirah menjelaskan, 21 kerusi DUN yang dimenangi BN bukan diperoleh melalui ihsan, hadiah atau pinjaman daripada mana-mana pihak, sebaliknya dimenangi secara sah menerusi sokongan dan mandat rakyat Melaka.
“Dalam sistem demokrasi, mempertahankan kerusi yang telah diberikan oleh rakyat adalah satu tanggungjawab yang wajib dipikul, bukannya satu bentuk ketamakan seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.
“Yang mempertikaikan tindakan mempertahankan kerusi sebenarnya sedang mempertikaikan pilihan dan mandat rakyat sendiri,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, pimpinan BN telah menjelaskan pendirian bahawa kerusi yang dimenangi akan terus dipertahankan.
“Pimpinan BN telah menjelaskan bahawa kerusi yang dimenangi pada PRN lalu akan terus dipertahankan, namun pada masa yang sama tetap mengutamakan musyawarah, persefahaman dan kestabilan politik demi rakyat Melaka,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Puteri UMNO Negeri Melaka pendirian untuk berdiri teguh bersama keputusan kepimpinan parti.
“Prinsipnya jelas. Yang menang mempertahankan amanah. Yang mahu bertanding, bertandinglah secara demokrasi. Biarlah rakyat sekali lagi menentukan.
“Itulah semangat demokrasi yang sebenar,” tegasnya. – UMNO Online
