Reezal Merican Semarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang, Perkukuh Patriotisme

KEPALA BATAS, 7 Ogos – Semangat cintakan negara terus disemarakkan apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengetuai Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan 2026 di sekitar Parlimen Kepala Batas, semalam.

Program yang bermula di Taman Bertam Permata, Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi itu bukan sekadar mengajak rakyat mengibarkan Jalur Gemilang, malah menjadi medan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat menerusi sesi turun padang, menyantuni penduduk serta mendengar sendiri pandangan mereka.

Bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat mengibarkan Jalur Gemilang dengan sempurna, Pusat Khidmat ADUN Bertam mengambil langkah proaktif dengan mengagihkan bendera yang telah siap dipasang bersama kayu kepada premis-premis perniagaan dan pusat komersial di sekitar Bertam.

Reezal berkata, inisiatif tersebut diambil bagi memudahkan orang ramai memasang Jalur Gemilang sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan, selain menggalakkan penyertaan lebih meluas dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

“Bulan Kebangsaan ini, marilah kita bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan dan seluruh kawasan kita sebagai tanda kasih, bangga serta hormat kepada Malaysia. Biar Jalur Gemilang terus berkibar megah di setiap pelosok Kepala Batas dan menjadi lambang perpaduan rakyat yang sentiasa utuh,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh penduduk yang hadir memeriahkan program tersebut dan berharap semangat patriotisme yang dipupuk akan terus menjadi asas kepada perpaduan serta keharmonian masyarakat.

Turut bersama menjayakan kempen ialah Pengerusi Pengurusan UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Roslan Saidin bersama barisan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas yang berganding bahu menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Kempen tersebut mencerminkan komitmen berterusan UMNO dalam menyemai semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan rakyat serta memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah sebagai simbol kedaulatan dan kebanggaan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO