Hasni Sambut Baik Usaha Gubal RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menyambut baik langkah Kerajaan memulakan usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Bidang Kuasa Admiralti 2026 yang disifatkan sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh kerangka perundangan maritim negara.

Beliau berkata, usaha yang diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem perundangan negara kekal relevan dan mampu menangani cabaran sektor maritim yang semakin berkembang.

“Hampir 90 peratus perdagangan negara bergantung kepada laluan laut. Justeru, sudah sampai masanya Malaysia mempunyai undang-undang maritim yang lebih komprehensif dan tersusun bagi menyokong kepentingan ekonomi serta kedaulatan negara.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Azalina Othman Said dan Kerajaan Malaysia atas langkah proaktif menggerakkan usaha awal menggubal RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026. Inisiatif ini amat penting bagi memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi cabaran maritim yang semakin kompleks, di samping memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang berdaya saing,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Hasni berkata, penggubalan undang-undang tersebut diyakini mampu memperkemaskan aspek bidang kuasa serta pengurusan pertikaian berkaitan sektor maritim selaras dengan perkembangan perdagangan dan perkapalan antarabangsa.

Menurut beliau, usaha memperkukuh ekosistem perundangan maritim bukan sahaja memberi keyakinan kepada pelabur dan pemain industri, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang banyak bergantung kepada perdagangan melalui laut.

Beliau berharap proses penggubalan RUU tersebut dapat diteruskan secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan demi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.

Terdahulu Azalina dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen diberi tempoh tiga bulan bagi melaksanakan penelitian menyeluruh terhadap RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 sebelum mengemukakan syor penambahbaikan kepada Parlimen.

Jelasnya, dalam proses ini, Jawatankuasa akan mengadakan libat urus bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian, agensi kerajaan, pakar perundangan, ahli akademik, badan profesional, pemain industri, Majlis Peguam Malaysia serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 dirangka bagi memodenkan kerangka perundangan maritim negara selaras dengan amalan terbaik antarabangsa untuk memperkukuh daya saing serta kedudukan Malaysia sebagai hab maritim global. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO