UMNO Putatan Bersama Masyarakat, Komited Selesaikan Kebajikan Penduduk
PUTATAN, 5 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed terus memperkukuhkan pendekatan turun padang dengan menyantuni rakyat serta meneliti sendiri pelbagai isu yang dihadapi penduduk, termasuk masalah infrastruktur yang telah berlarutan sekian lama.
Beliau memulakan rutin pagi di pejabat UMNO Bahagian Putatan dengan bertemu orang ramai yang hadir bagi mengemukakan pelbagai permohonan dan mendapatkan khidmat bantuan. Antaranya ialah menerima kunjungan Kelab Anglers Petagas yang berkongsi persiapan penganjuran pertandingan memancing dan program Hari Keluarga yang dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan ini.
Menyususl selepas itu, Jeffery meneruskan program ziarah kebajikan dengan melawat penduduk yang uzur di beberapa kawasan dalam PDM Pasir Putih, melibatkan Kampung Meruntum, Kampung Pasir Putih, Kampung Sipanggil dan Taman Teluk Villa.

Ujarnya, ziarah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UMNO Bahagian Putatan memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian.
Dalam lawatan itu, beliau turut menerima aduan daripada seorang penduduk mengenai keadaan sebuah parit berhampiran rumah yang didakwa tidak lagi berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan banjir setiap kali berlaku limpahan air.
Susulan aduan tersebut, Jeffery berkata pihaknya akan membawa perkara itu kepada perhatian Pejabat Daerah Putatan agar tindakan segera dapat diambil demi kepentingan penduduk.
“Sebagai wakil masyarakat, saya tidak mahu isu yang membebankan rakyat dibiarkan berlarutan. Saya akan memohon Pejabat Daerah Putatan meneliti keadaan ini dengan lebih dekat dan memberikan komitmen sepenuhnya untuk mencari penyelesaian terbaik. Keutamaan saya ialah memastikan setiap aduan rakyat diberikan
perhatian dan tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa setiap suara rakyat merupakan amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, justeru pendekatan turun padang dan mendengar sendiri keluhan masyarakat akan terus menjadi keutamaan kepimpinan UMNO Bahagian Putatan.
Jeffery turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk yang hadir ke pejabat bagi mendapatkan perkhidmatan serta kepada mereka yang menerima kunjungan program ziarah.
Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua PDM, yang telah menyelaras program ziarah berkenaan sehingga berjalan lancar.
Tegasnya lagi, komitmen berterusan mendekati rakyat serta menyelesaikan isu-isu setempat membuktikan UMNO kekal konsisten memperjuangkan kebajikan masyarakat dan memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya. – UMNO Online
