Salina Terus Perkukuh Kebajikan Rakyat, Perkasa Usahawan Behrang

SLIM RIVER, 5 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin meneruskan komitmen mendekati masyarakat menerusi program yang memberi fokus kepada kebajikan rakyat serta pemerkasaan usahawan tempatan.

Dalam Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak yang berlangsung di RPS Jernang, Sungkai, Salina turun padang menyantuni komuniti setempat dan meninjau pelaksanaan inisiatif yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.

Menurut beliau, program seumpama ini amat membantu dalam meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan serta penduduk di kawasan luar bandar.

“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, malah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan keperluan asas dapat dinikmati pada harga yang berpatutan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku penganjur serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

“Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai penduduk menerima manfaat. Terima kasih juga kepada semua yang hadir serta terus memberikan sokongan,” ujarnya.

Sehari sebelumnya, Salina menghadiri sesi ramah mesra bersama para usahawan dan peminjam TEKUN di Kampung Simpang Empat, Tanjong Malim bagi mendengar sendiri pandangan serta cabaran yang dihadapi mereka dalam mengembangkan perniagaan.

Menurut beliau, setiap perkongsian yang disampaikan amat bernilai kerana memberikan gambaran jelas mengenai keperluan sebenar masyarakat, sekali gus membantu dalam merangka tindakan yang lebih berkesan.

Dalam sesi tersebut, beberapa isu semasa yang dibangkitkan oleh penduduk turut dibincangkan. Salina memberi jaminan bahawa setiap perkara yang disuarakan akan diberikan perhatian dan diusahakan sebaik mungkin melalui saluran yang berkaitan.

“Insya-Allah, setiap perkara yang disuarakan akan diberi perhatian dan diusahakan sebaik mungkin melalui saluran yang berkaitan. Semoga hubungan baik antara masyarakat dan Pusat Khidmat Rakyat Dun Behrang terus diperkukuhkan demi memastikan pembangunan serta kebajikan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.”

Salina juga berharap hubungan erat antara masyarakat dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Behrang akan terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan TEKUN yang sentiasa komited dalam membantu usahawan tempatan memperkukuh perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi mereka. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO