Melaka Sedia Sambut Hari Landskap Negara 2026, Perkukuh Imej Negeri
MELAKA, 4 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik bagi menjayakan Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang akan berlangsung di Stadium Hang Jebat bermula 6 hingga 9 Ogos ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, segala persiapan sedang diperhalusi bagi memastikan penganjuran acara peringkat kebangsaan itu berjalan lancar, tersusun dan memberikan pengalaman terbaik kepada para pengunjung.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak sambutan bersama ketua-ketua jabatan serta agensi berkaitan bagi meninjau perkembangan persiapan selain meneliti aspek pelaksanaan di lokasi program.

“Saya mahu setiap aspek persiapan diberikan perhatian sewajarnya agar Hari Landskap Negara 2026 bukan sahaja berlangsung dengan lancar, malah menjadi penganjuran yang mampu mencerminkan keupayaan Melaka sebagai tuan rumah kepada acara bertaraf nasional,” katanya.
Menurut beliau, beberapa cadangan penambahbaikan turut dikemukakan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Haji Shadan Othman, selaku penganjur bersama Jabatan Landskap Negara bagi memastikan kelancaran sepanjang program berlangsung.
Ab Rauf berkata, penganjuran Hari Landskap Negara 2026 bukan sahaja menjadi platform mempromosikan kepentingan landskap dalam pembangunan mampan, malah mampu memperkukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan dan lokasi pilihan bagi penganjuran pelbagai acara berprestij.
“Kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Melaka menjadi tuan rumah adalah satu penghormatan besar. Ini membuktikan kemampuan negeri ini dalam menganjurkan program berskala nasional dengan jayanya,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kepercayaan memilih Melaka sebagai tuan rumah sambutan berkenaan.
Lebih membanggakan, majlis kemuncak Hari Landskap Negara 2026 dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Ab Rauf mengajak seluruh rakyat Melaka dan masyarakat dari seluruh negara hadir memeriahkan sambutan yang menjanjikan pelbagai pengisian menarik sepanjang empat hari penganjuran.
“Saya menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk hadir bersama-sama memeriahkan Hari Landskap Negara 2026 di Melaka. Insya-Allah, pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung dan inilah peluang untuk kita bersama mengangkat keindahan landskap serta mempromosikan Melaka sebagai negeri yang indah, maju dan sejahtera,” katanya. – UMNO Online
