Teruskan Momentum Kemenangan BN, Kekalkan Semangat Juang

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Hasnol Ayub menyeru seluruh jentera Barisan Nasional (BN) agar terus mengekalkan momentum kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebagai bekalan untuk menghadapi cabaran politik dan perjuangan parti pada masa akan datang.

Beliau berkata, kejayaan yang diraih bukanlah hasil usaha individu, sebaliknya lahir daripada pengorbanan, kesatuan dan komitmen luar biasa seluruh jentera BN dari segenap pelosok negara yang berganding bahu sepanjang tempoh berkempen.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera Barisan Nasional yang hadir ke Negeri Sembilan, termasuk rakan-rakan dari Sabah, atas segala pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan sepanjang kempen. Kemenangan ini adalah milik seluruh keluarga besar Barisan Nasional.”

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah turut menzahirkan penghargaan khusus kepada Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Jafry Ariffin, kepimpinan tertinggi BN dan UMNO Sabah serta seluruh jentera negeri itu yang disifatkan sebagai antara tonggak penting dalam memperkukuhkan gerak kerja kempen sehingga membawa kepada kejayaan.

Hasnol turut merakamkan penghargaan kepada semua Ketua UMNO Bahagian, kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat negeri serta bahagian, selain setiap sukarelawan dan petugas yang sanggup meninggalkan keluarga, mengambil cuti dan berkorban demi memastikan gerak kerja parti berjalan lancar sepanjang PRN berlangsung.

“Apa yang paling penting selepas kemenangan ini ialah kita tidak leka. Sebaliknya, kita perlu meneruskan momentum, memperkukuhkan perpaduan, memperkemaskan jentera dan terus mendekati rakyat. Semangat yang telah kita bina di Negeri Sembilan perlu diterjemahkan dalam setiap medan perjuangan selepas ini demi memastikan Barisan Nasional terus kekal relevan dan diyakini rakyat.”

Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa apabila seluruh kekuatan parti digembleng sebagai satu pasukan dengan semangat setiakawan, keikhlasan serta tawakal kepada Allah SWT, segala cabaran mampu diatasi.

Hasnol berharap semangat kebersamaan yang dipamerkan sepanjang PRN Negeri Sembilan akan terus dipelihara dan menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih besar pada masa hadapan, selaras dengan tekad Barisan Nasional untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO