PRN Negeri Sembilan: Kemenangan BN Bukti Kesatuan, Disiplin Dan Kerja Berpasukan
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 membuktikan bahawa kesatuan, disiplin organisasi dan gerak kerja tersusun seluruh jentera menjadi faktor utama yang menterjemahkan kepercayaan rakyat kepada parti.
Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob berkata, setiap pilihan raya mempunyai cabaran yang tersendiri dan PRN Negeri Sembilan tidak terkecuali apabila kempen bermula dalam suasana yang menuntut pelbagai isu dijawab serta persepsi diperbetulkan.

“Kemenangan tidak ditentukan oleh kedudukan permulaan. Sebaliknya, ia ditentukan oleh disiplin, kesatuan pasukan dan kesediaan untuk bekerja setiap hari tanpa mengenal penat. Inilah yang dibuktikan oleh seluruh keluarga besar Barisan Nasional di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen, penyelarasan antara kepimpinan, jentera penerangan serta pasukan di peringkat negeri dan pusat berlangsung secara konsisten bagi memastikan setiap gerak kerja dilaksanakan secara tersusun, berfokus dan berkesan.
Menurut beliau, kejayaan tersebut turut didorong oleh kepimpinan yang jelas daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, selain bimbingan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said sepanjang kempen berlangsung.
Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang turut merakamkan penghargaan kepada Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, seluruh kepimpinan negeri serta jentera Barisan Nasional yang bertungkus-lumus memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan dengan berkesan di lapangan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga Penerangan UMNO Malaysia, jentera penerangan di semua peringkat, pasukan media, sukarelawan digital dan petugas akar umbi yang bekerja siang dan malam sepanjang kempen.
“Ramai yang tidak berada di pentas atau di hadapan kamera, namun merekalah tulang belakang kepada keseluruhan gerak kerja sehingga Barisan Nasional berjaya memperoleh kemenangan ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan syabas kepada seluruh jentera di 16 Bahagian UMNO Negeri Sembilan yang berjaya mempertahankan setiap kerusi UMNO, sekali gus menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional membentuk kerajaan negeri.
Beliau berharap semangat kebersamaan yang dipamerkan sepanjang PRN Negeri Sembilan akan terus menjadi kekuatan UMNO dan Barisan Nasional dalam meneruskan perjuangan berkhidmat kepada rakyat serta memastikan agenda kestabilan, kemajuan dan kemakmuran terus diperkasakan. – UMNO Online
