Mandat Rakyat Jeram Padang: Mohd Zaidy Tekad Beri Khidmat Terbaik
JEMPOL, 3 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT selepas sekali lagi diberikan mandat oleh rakyat untuk terus mewakili DUN Jeram Padang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kemenangan yang diraih bukanlah kemenangan peribadi, sebaliknya merupakan hasil usaha bersama seluruh rakyat, jentera parti serta para penyokong yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Jeram Padang yang telah memberikan sokongan, kepercayaan dan mandat kepada saya. Amanah ini akan saya pikul dengan penuh rasa tanggungjawab demi memastikan kebajikan serta pembangunan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Zaidy turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, MCA, MIC, PPP serta rakan-rakan daripada Makkal Sakthi dan IPF yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada kejayaan tersebut.
Beliau turut menghargai bantuan yang diberikan oleh jentera Perikatan Nasional sepanjang kempen pilihan raya.
Beliau berkata, segala pengorbanan jentera yang sanggup meninggalkan keluarga, mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit serta bekerja tanpa mengenal penat lelah menjadi antara faktor penting yang membawa kepada kemenangan BN di Jeram Padang.
Mohd Zaidy turut merakamkan penghargaan kepada jentera negeri dan bahagian angkat khususnya dari Pahang dan Johor yang hadir membantu memperkukuhkan gerak kerja kempen, sekali gus menyuntik semangat kepada seluruh pasukan sepanjang tempoh berkempen.
Mengulas mengenai hala tuju selepas pilihan raya, Mohd Zaidy menegaskan bahawa kini adalah masa untuk semua pihak kembali bersatu tanpa mengira perbezaan fahaman politik demi membangunkan Jeram Padang.
“Pilihan raya telah selesai. Yang menang tidak perlu mendabik dada dan yang berbeza pilihan tidak harus disisihkan. Kini masanya untuk kita bersama-sama membuka lembaran baharu serta bekerja demi masa depan Jeram Padang,” ujarnya.
Beliau turut berjanji akan membalas kepercayaan yang diberikan rakyat dengan kerja yang bersungguh-sungguh, khidmat yang terbaik serta komitmen tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Insya-Allah, amanah ini akan saya jaga dan kepercayaan rakyat akan saya balas dengan khidmat serta hasil yang terbaik demi kemajuan Jeram Padang,” katanya. – UMNO Online
