25 Tahun Puteri UMNO: Terus Perkasa Wanita Muda, Siap Siaga PRN Melaka
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ulang tahun penubuhan Puteri UMNO yang ke-25 menjadi detik penting untuk memperbaharui iltizam perjuangan dalam melahirkan lebih ramai pemimpin wanita muda yang berwibawa, selain memperkukuhkan peranan sayap itu sebagai benteng hadapan parti dalam mendepani cabaran politik masa depan.
Ketua Puteri UMNO Negeri Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusof berkata, usia suku abad Puteri UMNO bukan sekadar melakar sejarah, sebaliknya membuktikan kejayaan sebuah wadah yang telah membentuk ribuan pemimpin wanita muda berjiwa kental, berintegriti serta sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.
Katanya, Puteri UMNO sejak penubuhannya telah menjadi medan latihan kepimpinan yang melahirkan ramai tokoh wanita negara, sekali gus membuktikan bahawa perjuangan politik sebenar bukan hanya diukur melalui kemenangan pilihan raya, tetapi menerusi keikhlasan berkhidmat, menyantuni rakyat dan membina masa depan negara.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT sempena ulang tahun penubuhan Puteri UMNO yang ke-25. Suku abad bukan sekadar angka. Ia adalah saksi kepada lahirnya sebuah sayap yang telah membentuk ribuan pemimpin wanita muda, menjadi medan latihan kepimpinan, dan membuktikan bahawa perjuangan politik yang sebenar bukan hanya tentang memenangi pilihan raya, tetapi tentang menyantuni rakyat dan membina masa depan negara.
“Selama 25 tahun, Puteri UMNO telah berkembang daripada sebuah gerakan anak muda kepada sebuah institusi kepimpinan yang melahirkan wanita berani, berprinsip dan berintegriti. Ramai dalam kalangan pemimpin wanita hari ini pernah ditempa dalam sekolah perjuangan bernama Puteri UMNO. Legasi ini mesti terus dipertahankan.
“Cabaran kita bukan lagi sekadar mengekalkan kewujudan, tetapi memastikan Puteri UMNO terus menjadi sayap paling relevan dalam memahami denyut nadi generasi muda. Politik hari ini menuntut keberanian menguasai teknologi, memimpin naratif di ruang digital, menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat dan membina keyakinan anak muda terhadap masa depan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Masjid Tanah menjelaskan ulang tahun ke-25 ini bukan penamat kepada sebuah perjalanan, tetapi permulaan kepada satu fasa perjuangan yang lebih besar.
“Puteri UMNO mesti terus berani berubah, berani memimpin dan berani menjadi harapan baharu kepada wanita muda Malaysia. Kerana perjuangan bukan diwarisi semata-mata, tetapi perlu diteruskan dengan keberanian, keikhlasan dan khidmat kepada rakyat. Selamat Ulang Tahun Puteri UMNO Ke-25,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nurul Amirah menegaskan Puteri UMNO Negeri Melaka akan terus mendukung agenda Melaka Sayang Rakyat yang diterajui Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dengan memastikan setiap dasar kerajaan diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Komitmen tersebut dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif membabitkan pemerkasaan pendidikan, pembangunan belia, peluang pekerjaan, latihan TVET, keusahawanan wanita, kebajikan serta pelaksanaan program komuniti yang benar-benar menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Puteri UMNO Melaka percaya bahawa politik terbaik ialah politik yang menyelesaikan masalah rakyat. Sebab itu kami memilih untuk terus turun padang, mendengar denyut nadi masyarakat, membantu mereka yang memerlukan serta menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan.
“Selagi rakyat memerlukan kami, selagi itulah Puteri UMNO akan terus berada di hadapan, berkhidmat tanpa mengenal penat demi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya lagi.
Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, Nurul Amirah menjelaskan seluruh jentera Puteri UMNO Negeri akan digerakkan secara menyeluruh dengan semangat kebersamaan, disiplin dan kesetiaan yang tinggi bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) terus dipertahankan.
“Seluruh jentera Puteri akan digerakkan dengan semangat kebersamaan, disiplin dan kesetiaan bagi memastikan kemenangan BN demi meneruskan kesinambungan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mempunyai rekod membangun negeri.
“Kami yakin kestabilan politik adalah prasyarat kepada kemajuan ekonomi, keyakinan pelabur, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat. Puteri UMNO akan terus memainkan peranan sebagai barisan hadapan yang mendekati pengundi muda, memperkukuhkan gerak kerja digital, menyampaikan fakta yang benar serta mempertahankan dasar-dasar yang membawa manfaat kepada rakyat Melaka,” ujarnya lagi. – UMNO Online
