Maira Hasim Wakil Rakyat Kedua Daripada Puteri UMNO – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bersyukur atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Maira Hasim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 ini.

Ujarnya dalam satu hantaran di Facebook, Maira yang merupakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah merupakan wakil daripada pergerakan itu yang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Selamat Berkhidmat Maira Hasim, wakil rakyat yang kedua daripada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menang bergaya di N. 20 Labu dengan majoriti 5,279,” katanya.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Maira memperolehi 14,209 undi, meninggalkan pesaingnya daripada Pakatan Harapan (8,930 undi) dan Bersatu (1,985 undi).

Manakala wakil rakyat dari kalangan Pergerakan Puteri UMNO adalah Nadhirah Afiqah Abdull Rahim yang memenangi kerusi DUN Serom pada PRN Johor bulan lalu dengan majoriti sebanyak 9,406 undi.

Nadhirah Afiqah yang dikenali sebagai Iqa Rahim mendapat 17,213 undi, jauh meninggalkan pencabarnya daripada PH (Amanah) yang mendapat 7,807 undi dan Bersatu 3,656 undi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO