BN Komited Bina Negeri Sembilan Yang Stabil Dan Makmur
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Barisan Nasional (BN) merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung dalam suasana aman, teratur dan matang, sekali gus menyifatkan keputusan tersebut sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap politik yang sederhana, stabil dan berteraskan perpaduan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, BN turut merakamkan setulus-tulus penghargaan kepada seluruh pengundi dan rakyat Negeri Sembilan daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat atas sokongan, keyakinan serta kepercayaan yang diberikan kepada gabungan itu pada PRN kali ini.

Menurut beliau, keputusan PRN menyaksikan Barisan Nasional memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN)memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membuktikan rakyat terus memilih pendekatan politik yang mengutamakan kestabilan, kesederhanaan dan keharmonian.
“Barisan Nasional merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Presiden MIC, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), seluruh kepimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional Negeri serta Friends of BN atas komitmen dan sokongan sepanjang kempen PRN,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang disifatkan berjaya menggembleng kekuatan seluruh jentera sehingga membawa kepada kejayaan BN.
Dalam masa yang sama, Dr. Zambry turut mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan, petugas media dan semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan proses demokrasi berjalan lancar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon BN yang diberikan mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mengingatkan bahawa kemenangan tersebut bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan demi berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.
“Barisan Nasional menerima kemenangan ini dengan penuh rasa syukur dan tawaduk. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat akan diterjemahkan melalui pentadbiran yang bertanggungjawab, berorientasikan rakyat serta berpaksikan prinsip kestabilan dan kemajuan negeri.
“Barisan Nasional akan terus menjunjung politik kesederhanaan, memperkukuh perpaduan antara kaum, mengamalkan tadbir urus yang baik serta bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan Negeri Sembilan terus kekal sebagai sebuah negeri yang stabil, maju, inklusif dan makmur untuk generasi hari ini dan akan datang,” katanya. – UMNO ONLINE
