Rakyat Jangan Termakan Fitnah, Naratif Perang Psikologi – Tok Mat Hasan
REMBAU, 1 Ogos – Rakyat di Negeri Sembilan diseru untuk tidak termakan dengan naratif perang psikologi yang dimainkan oleh pihak lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) selaku calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat Hasan berkata, naratif yang menyentuh institusi adat jelas dicipta untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap parti itu.

“Itu mereka punya naratif untuk perang psikologi… nak buat rakyat marah dengan BN. Saya tidak tahu adanya perancangan sebegitu, tetapi naratif mengatakan BN menang, Yang di-Pertuan Negeri Sembilan akan jatuh itu semua perang psikologi yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).
“Saya harap rakyat tidak termakan. Itulah gaya mereka daripada dulu. Fitnah, fitnah dan fitnah, tidak ada kerja lain. Kita dalam pilihan raya ini, mesti yakinkan rakyat apa yang kita boleh buat. Apa yang perlu kita lakukan untuk mempertingkatkan lagi kesejahteraan rakyat. Bukannya memfitnah orang.
“Dewasalah segera ya. Please grow up kerana rakyat dah tak makan lagi fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas membuang undi di SJK (C) Chung Hua di Rantau, sebentar tadi.
Sementara itu, beliau berharap agar para pengundi keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat di Negeri Sembilan
“Alhamdulillah pagi ini saya bersama isteri dan dengan anak-anak telah menjalankan tanggungjawab untuk membuang undi di SJK (C) Chung Hua, Rantau. Perjalanan pembuangan undi di sini nampak teratur dan alhamdulillah ramai yang telah datang pagi-pagi.
“Saya berharap supaya semua pengundi di dalam DUN Rantau segera untuk kita menjalankan tanggungjawab kerana di sebelah petang diramalkan akan hujan. Jadi eloklah kalau kita boleh segera keluar menjalankan tanggungjawab supaya proses pembuangan undi berjalan dengan lancar, Insya-Allah,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau menyasarkan seramai 70 ke 75 peratus rakyat di Negeri Sembilan keluar mengundi pada hari ini.

“Saya harap peratusan itu tinggi kerana ia menjadi tanggungjawab warga Malaysia Dan sebagai warganegara. Tapi kalau kita boleh dapat 70 ke 75 peratus itu pun kira memadai.
“Ini kerana ramai pengundi-pengundi yang mendaftar tidak duduk lagi di sini. Ramai dah bertukar tapi tak pernah tukar alamat. Banyak dulu tentera dan bekas polis, mereka telah pencen dan berpindah, tetapi tidak menukar tempat pengundi.
“Ini menjadikan mereka sebagai pengundi yang tidak dapat dikesan. Jadi, kalau kita boleh dapat peratusan keluar mengundi hari ini di Rantau dan seluruh Negeri Sembilan 70 ke 75 peratus itu, itu pun dah kira bagus. Biasanya itulah peratusan keluar mengundi di setiap pilihan raya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menzahirkan harapan agar BN dapat menang di kesemua kerusi yang ditandingin.
“Berita gembira hari ini… kalau boleh, kita menang di kesemua kerusi,” katanya lagi.
Untuk rekod, Tok Mat Hasan telah tiba di SJK (C) Chung Hua, Rantau pada jam 8.24 pagi untuk melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai pengundi di kawasan tersebut.
Beliau tiba bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin dan tiga orang anak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
