PRN: Peratus Keluar Mengundi Dijangka Meningkat, Demi Kestabilan Negeri – Jalaluddin
JELEBU, 1 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini dijangka melepasi sasaran 70 hingga 75 peratus berdasarkan perkembangan semasa.
Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu, ia sekali gus membuktikan kesungguhan rakyat menunaikan tanggungjawab demokrasi dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri demi menjamin kestabilan serta kemakmuran pada masa hadapan.

“Walaupun ini merupakan PRN, Pilihan Raya Negeri, tapi saya yakin jumlah peratusan pada hari ini akan bertambah dan kita harap supaya seperti PRN yang lepas-lepas tidak kurang daripada 70 ke 75 peratus.
“Tetapi berdasarkan kepada perkembangan terkini, saya yakin jumlah pengundi yang akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari ini akan bertambah kerana mereka tidak akan terkecuali untuk tidak melibatkan diri dalam menentukan sejarah pentadbiran negeri bermula pada hari besok.
“Insya-Allah ini adalah merupakan sejarah baharu bagi Kerajaan Negeri Sembilan untuk masa depan negeri, masa depan rakyat terutamanya dalam soal yang berkaitan dengan kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya.
Jalaluddin berkata demikian kepada media selepas menunaikan tanggungjawab membuang undi bersama isteri Datin Seri Maziah Mohd Nor yang tiba pada jam 8.45 pagi di Sekolah Kebangsaan Putra, Simpang Durian, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut berkongsi kegembiraan kepada media apabila berkata hari pengundian ini amat bermakna buatnya apabila turut menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-39 bersama isterinya itu.
Dilaporkan, sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dibuka serentak bermula 8 pagi ini, membolehkan 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan menentukan kerajaan negeri untuk penggal akan datang.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua kerusi, diikuti BN (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon. – UMNO ONLINE
