Kemenangan BN Mandat Rakyat Untuk Hebatkan Semula Negeri Sembilan – Azalina

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) merupakan mandat jelas daripada rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran serta merealisasikan agenda Hebatkan Semula Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kemenangan tersebut membuktikan keyakinan rakyat terhadap kemampuan BN untuk kembali menerajui negeri dengan menawarkan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Menurut beliau, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat merupakan satu amanah besar yang perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang lebih berkesan, pelaksanaan manifesto secara menyeluruh serta komitmen berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

“Keputusan ini bukan untuk diraikan secara berlebihan. Sebaliknya ia adalah amanah yang menuntut kita bekerja lebih kuat, mentadbir dengan lebih baik dan memastikan setiap janji dalam manifesto Barisan Nasional dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Kepercayaan rakyat tidak boleh dikhianati dan mandat ini tidak boleh disia-siakan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Azalina turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi Negeri Sembilan yang telah memberikan kepercayaan kepada BN, di samping mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; semua calon serta seluruh jentera parti yang berjuang dengan penuh disiplin sepanjang kempen pilihan raya.

Beliau berkata, persefahaman politik yang dicapai antara BN dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan juga menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kemenangan tersebut apabila pendekatan mengelakkan pertembungan membolehkan strategi pilihan raya disusun dengan lebih kemas dan berkesan demi memberikan pilihan yang lebih jelas kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kejayaan BN turut dipacu oleh kekuatan jentera penerangan dan komunikasi strategik yang berjaya menyampaikan naratif parti secara berkesan kepada rakyat.

Katanya, landskap politik hari ini memerlukan penguasaan terhadap data, analisis sentimen, penyelidikan, media digital serta keupayaan menghasilkan kandungan yang pantas dan tepat.

“Penerangan hari ini bukan lagi sekadar ceramah atau poster. Ia memerlukan keupayaan memahami perubahan sentimen rakyat, menguasai data serta membina naratif yang diyakini masyarakat.

“Dalam era kecerdasan buatan (AI), algoritma dan komunikasi berasaskan data, pihak yang lebih pantas menyesuaikan diri dengan perubahan akan lebih bersedia memenangi keyakinan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan penerangan, komunikasi strategik, media, penyelidikan, kandungan serta gerak kerja digital yang memainkan peranan besar daripada pemantauan isu, analisis sentimen, penyusunan naratif, gerak balas pantas sehingga kepada amplifikasi mesej sepanjang tempoh kempen.

Mengulas mengenai langkah seterusnya, Azalina berkata, selepas berakhirnya pilihan raya, tumpuan kini adalah memastikan kerajaan baharu berkhidmat untuk seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama, kawasan mahupun kecenderungan politik.

“Terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan atas kepercayaan yang diberikan kepada Barisan Nasional. Kini tiba masanya untuk menunaikan amanah itu dengan sebaik-baiknya dan membuktikan bahawa mandat rakyat akan diterjemahkan kepada sebuah pentadbiran yang mampu Hebatkan Semula Negeri Sembilan,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO