PRN: ‘Pilih BN, PN Demi Negeri Sembilan Lebih Baik’

TAMPIN, 31 Julai – Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai peluang membuktikan bahawa kesatuan politik membawa kepada pentadbiran negeri yang lebih baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, kesepakatan tersebut mencerminkan kemampuan semua pihak untuk bergerak bersama demi kepentingan rakyat.

“Inilah masanya, peluang untuk membuktikan bahawa apabila orang Melayu bersatu, insya-Allah kita mampu bekerja dengan lebih baik.

“Kepimpinan di Negeri Sembilan kelak akan dapat berkhidmat dengan lebih baik bersama rakan-rakan komponen termasuk MCA, MIC serta Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dalam pada itu Mohd Isam turut sama menyeru seluruh pengundi, khususnya yang berada di luar Negeri Sembilan supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada PRN pada esok.

Katanya setiap pengundi perlu mengambil peluang tersebut bagi menentukan hala tuju masa depan negeri menerusi proses demokrasi.

“Mengharapkan kepada semua pengundi, khususnya yang berada di Negeri Sembilan, supaya turun menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Saya juga merayu kepada anak-anak serta keluarga yang berada di luar Negeri Sembilan agar pulang ke negeri ini untuk mengundi BN dan PN.

“Saya yakin gelombang biru Johor tempoh hari akan sampai ke Negeri Sembilan dan percaya pada Sabtu malam akan menyaksikan pembentukan kerajaan baharu di Negeri Sembilan menerusi kerjasama BN dan PN,” ujar beliau.

Terdahulu, PRN Negeri Sembilan diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri untuk memilih kerajaan baharu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan beberapa gabungan utama termasuk BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) serta calon bebas di 36 kerusi DUN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO