Mohd Razi Seru Anak Muda Pilih BN, Bersama Realisasikan Agenda Masa Depan

SUNGAI LUI, 31 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali menyeru golongan muda agar bersama-sama memberikan sokongan kepada BN demi merealisasikan pelbagai agenda pembangunan yang dirangka khusus untuk kesejahteraan rakyat dan masa depan generasi muda.

Beliau berkata manifesto BN Negeri Sembilan menawarkan pelbagai inisiatif komprehensif merangkumi setiap fasa kehidupan rakyat, bermula daripada kelahiran hinggalah ke akhir hayat.

“Kalau kita tengok tawaran-tawaran dalam manifesto BN Negeri Sembilan ia meliputi pelbagai golongan dan juga peringkat, sama ada daripada lahir, perkahwinan, peringkat persekolahan, sehinggalah generasi usia tuanya, dan juga sampailah bantuan ‘one-off’ untuk membantu dari segi kematian dan sebagainya.

“Ini merupakan satu manifesto yang sangat baik yang kita persembahkan kepada generasi anak muda, pembangunan modal insannya, dan juga untuk sukan permotorannya. Saya yakin anak-anak FELDA sangat berminat tentang sukan permotoran ini, dan ini dinyatakan dengan jelas dalam manifesto yang telah diumumkan baru-baru ini,” katanya lagi.

Mengulas perkembangan kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini, Mohd Razi melahirkan rasa syukur apabila melihat sokongan terhadap BN terus meningkat menjelang hari pengundian.

“Alhamdulillah, sehingga ke minggu terakhir kempen kita melihat momentum semakin positif. Sokongan anak muda semakin memberangsangkan daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India serta masyarakat Orang Asli.

“Hari ini kita mula menyaksikan kebangkitan Gelombang Biru di Sungai Lui dan ia memberi keyakinan bahawa rakyat mahukan kestabilan serta kesinambungan pembangunan,” ujarnya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh berkempen, BN memberi tumpuan untuk mendekati seramai mungkin pengundi bagi menyantuni mereka, mendengar pandangan rakyat serta menjelaskan kandungan manifesto dan hala tuju pentadbiran yang bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita mahu rakyat memahami apa yang ditawarkan BN dan bagaimana ia mampu membawa manfaat kepada semua.

“Insya-Allah, jika momentum ini terus meningkat, saya yakin majoriti kemenangan BN di DUN Sungai Lui akan bertambah,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO