PH Dilanda Tsunami Penolakan, Gelombang Sokongan BN Semakin Mengukuh
JELEBU, 28 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Hasnol Ayub berpandangan tsunami penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) telahpun berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Johor.
Menurutnya, ia sekali gus menunjukkan gelombang sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang diterjemahkan melalui kemenangan di Johor dan berharap akan terus memberi impak positif dalam PRN Negeri Sembilan.

“Di Sabah kita lihat tsunami penolakan PH itu sudah berlaku, dan juga di Johor. Ini mencerminkan penolakan rakyat kepada parti PH itu sendiri.
“Jadi saya merasakan bahawa ini gelombang yang tidak boleh kita nafi. Gelombang ini saya rasa akan berlaku di seluruh negara. Ini pendapat saya,” kata Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sabah itu.
Mohd Hasnol berkata demikian kepada UMNO Online selepas program ceramah isu semasa di Kampung Bemban, di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Hasnol mengimbau analisis yang dilakukan sebelum PRN Johor baru-baru ini, yang jelas menunjukkan semua petunjuk memihak kepada BN sehingga menghasilkan kemenangan besar.
“Dua hari sebelum pilihan raya di Johor, kita membuat analisis dan semua indikator menunjukkan sokongan memihak kepada BN. Akhirnya segala faktor yang ada benar-benar menyebelahi BN, seperti ‘perfect storm’ dan menghasilkan kemenangan yang cukup besar,” ujarnya.
Walaubagaimanapun, Mohd Hasnol berpandangan landskap politik Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri, namun optimis semangat dan momentum kemenangan yang dibina di Johor mampu diterjemahkan oleh jentera BN di negeri itu.
Menyentuh mengenai sokongan golongan muda, Mohd Hasnol berkata pengundi muda kini semakin matang dalam membuat penilaian selepas melalui pengalaman di bawah pelbagai pentadbiran kerajaan.
“Mereka ini semua bijaksana. Mereka tahu macam mana mahu menilai. Mereka sudah nampak. Mereka sudah nampak kerajaan yang dahulu, kerajaan yang sekarang, mereka sudah mencuba. Sudah mencuba dengan parti-parti yang lain.
“Tapi nyata bahawa apabila kita lihat keadaan kita pada hari ini, bahawa yang terbaik sekali ialah Barisan Nasional. Dan kita boleh buktikan dengan fakta-fakta yang ada, dengan pencapaian-pencapaian yang sudah kita wujudkan di negara ini,” katanya.
Seterusnya jelas Mohd Hasnol lagi, prestasi ekonomi Johor menjadi contoh kejayaan pentadbiran BN apabila negeri itu merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.9 peratus berbanding purata nasional 4.9 peratus, manakala Negeri Sembilan hanya mencatatkan 4.2 peratus.
“Jadi itu bukti yang kukuh. Itu satu bukti yang kita tidak boleh nafikan. Jadi saya merasakan bahawa Barisan Nasional adalah parti yang terbaik dulu, kini dan selamanya.
“Dan kalau kita lihat, kadang-kadang kita ingin mencuba benda yang baru. Tapi kadang-kadang apabila kita sudah merasa ketiadaan, ketiadaan parti yang boleh membela kita, barulah tahu yang mana satu intan, yang mana satu kaca,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Mohd Hasnol berkata walaupun momentum kemenangan itu penting, tetapi turut berpesan kepada seluruh jentera BN agar tidak terlalu selesa dengannya, sebaliknya terus bekerja keras sehingga hari pengundian.
“Pesanan saya kepada jentera ialah kita jangan mengambil remeh ataupun kita terlalu yakin dengan kekuatan kita. Tetapi kita harus bekerja. Kita harus terjemahkan.
“Kita terjemahkan kekuatan dan momentum itu… kita terjemahkan gelombang itu di dalam peti undi nanti pada 1 haribulan (Ogos),” serunya. – UMNO ONLINE
