UMNO Jadi Garisan Tengah, Rumah Bangsa Perkukuh Penyatuan Melayu

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menegaskan UMNO kekal kukuh mempertahankan prinsip perjuangan parti serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa berperanan sebagai garisan tengah dalam landskap politik negara, khususnya dalam memastikan kestabilan kerajaan serta mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Yang kita nak takut dengan Dap ni pasal apa? Selagi mana Dap tidak melanggar garis merah. Selagi mana ianya tidak melanggar prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, UMNO/BN menjadi garisan tengah untuk mempertahankan segala ombak dan duri daripada mereka.

“Tetapi kalau mereka telah melanggar prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, saya rasa UMNO pastinya akan menentang sekeras-kerasnya.

“Politik ni angka kalau kita nak berkuasa, akhirnya kuasa itu dipulang balik kepada rakyat untuk membantu rakyat, membela nasib bangsa dan negara,” katanya.

Azhar berkata demikian ketika berbahas mewakili Perak sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh berkenaan penubuhan Rumah Bangsa yang dijangka mampu menarik penyatuan orang Melayu serta memperkukuh kesepakatan politik

“Politik ini citranya kuasa kalau tidak ada kuasa buat apa berpolitik. Datuk Seri Presiden sebut tentang rumah besar, rumah bangsa. Maksudnya inilah yang hendak dijadikan bangsa ini, rumah selesa, tidak seperti disebut oleh sebelah sana hendak menjadikan payung besar.

“Sebenarnya payung besar ini bukan bicara mereka namun bicara selepas 2018, 74 kerusi kalau campur semua-semua parti kita Melayu ni, itu yang pada masa itulah rumah besar, payung besar telah terjadi.

“Tak timbul lagi Dap mengenai Islam, tak timbul lagi mengasut dan pelbagainya kerana pada masa itu mereka menolak akhirnya kerana ketakutan itu merasuk orang Melayu dengan pemikiran-pemikiran yang baru, merasuk mereka dengan UMDap,” katanya.

Tegas beliau, dakwaan bahawa kerajaan hari ini dikuasai Dap adalah tidak berasas.

“UMDap ini ialah ciptaan… bukan ciptaan Dap dan kerajaan hari ini bukan kerajaan Dap. Kerajaan ini ialah kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO