Rumah Bangsa UMNO: Lambang Kematangan Politik Dan Keikhlasan Parti – Amar Izzuden

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang, Am Amar Izzuden Hamidun menyambut baik dan menyokong sepenuhnya mengenai gagasan Rumah Bangsa UMNO yang diumumkan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 baru-baru ini.

Jelasnya, gagasan ini mencerminkan kematangan politik parti serta keikhlasan UMNO untuk kembali menjadi payung besar penyatuan bangsa Melayu dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.

“Rumah Bangsa UMNO bukan sekadar simbol, tetapi satu pendekatan inklusif untuk menyatukan kembali orang Melayu tanpa mengira latar belakang politik, generasi atau perbezaan pandangan. Ia menegaskan peranan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa yang berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan yang meliputi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

“Gagasan ini sebagai peluang untuk mengukuhkan kembali kepercayaan rakyat Melayu terhadap UMNO, menyatukan tenaga dan pemikiran demi masa depan bangsa, memastikan suara Melayu kekal kuat, berprinsip dan relevan dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO tidak boleh terus terperangkap dalam perpecahan lama. Masa depan bangsa Melayu menuntut kesatuan, kebijaksanaan dan keberanian untuk berubah. Rumah Bangsa UMNO adalah langkah ke hadapan untuk menyatukan kekuatan dalaman parti dan mengembalikan UMNO sebagai tunjang perjuangan bangsa yang diyakini,” katanya kepada UMNO Online.

Seterusnya beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong UMNO agar memahami roh di sebalik gagasan ini, memperkukuh perpaduan dan bersama-sama memastikan UMNO terus berperanan secara bermaruah dalam membina negara melalui Kerajaan Perpaduan.

“Pendirian UMNO adalah jelas dan bertanggungjawab, penyertaan UMNO dalam kerajaan ini bukan pengkhianatan kepada prinsip perjuangan, sebaliknya satu langkah realistik demi kestabilan negara, pemulihan ekonomi dan keharmonian masyarakat majmuk sehingga PRU16.

“Rumah Bangsa UMNO menjadi ruang dalaman untuk memperkukuh kesepaduan orang Melayu, sementara Kerajaan Perpaduan pula menjadi platform tadbir urus negara yang stabil dan berfungsi,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO