Alumni GPMS Kebangsaan Dokong Rumah Bangsa , Sambut Baik Cadangan Akta Perlindungan Guru
KUALA LUMPUR, 21 Jan – Alumni GPMS Kebangsaan hari ini menyatakan sokongan dan dukungan penuh terhadap Rumah Bangsa yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang bertujuan menyatukan orang Melayu di bawah satu bumbung politik demi mewujudkan iklim yang lebih kondusif, stabil dan harmoni.
Menurut Presiden Alumni GPMS Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad, penyatuan ini penting bagi membolehkan tumpuan yang lebih jelas dan berkesan diberikan kepada perancangan strategik untuk memperkukuhkan kedudukan orang Melayu, khususnya dalam sektor pendidikan dan ekonomi yang menjadi asas kelangsungan generasi pewaris negara.
“Sudah sampai masanya orang Melayu kembali bersatu atas keperluan agama dan bangsa, serta menghentikan pertembungan ideologi yang keterlaluan. Pertembungan berpanjangan ini bukan sahaja melemahkan kekuatan dalaman, malah berpotensi menjejaskan masa depan generasi muda yang diharapkan mampu mempertahankan negara bangsa daripada anasir yang menentang penyatuan dan keharmonian Melayu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyokong cadangan penggubalan Akta Perlindungan Guru bagi memastikan profesion keguruan dilindungi daripada ancaman fizikal, tekanan psikologi, gangguan pihak luar serta salah guna kuasa yang boleh menjejaskan martabat dan keberkesanan peranan guru sebagai pendidik negara.
Katanya antara kandungan utama yang wajar dimasukkan dalam Akta Perlindungan Guru ini termasuk:
Perlindungan Undang-undang Profesional
Menjamin hak guru daripada tindakan undang-undang, ugutan, fitnah atau gangguan yang berpunca daripada pelaksanaan tugas profesional selagi tindakan tersebut mematuhi garis panduan, etika dan peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia, termasuklah hak bersuara dan melakukan penilaian pentadbir tanpa risiko.
Prosedur Pengendalian Aduan yang Standard dan Adil
Penetapan mekanisme siasatan aduan yang telus, berperingkat dan berimbang bagi mengelakkan guru dihukum atau didedahkan kepada tekanan awam sebelum siasatan dalaman diselesaikan.
Larangan Campur Tangan Tidak Profesional
Menghalang campur tangan tidak wajar oleh mana-mana pihak luar termasuk ibu bapa, pihak berkepentingan atau tekanan politik dalam urusan pedagogi, penilaian murid dan pentadbiran sekolah.
Perlindungan Keselamatan Fizikal dan Psikologi Guru
Menyediakan peruntukan khusus bagi perlindungan keselamatan guru daripada ancaman, keganasan, buli, gangguan siber serta tekanan emosi yang melampau, termasuk akses kepada sokongan kaunseling dan intervensi profesional.
Pengiktirafan Autoriti Guru dalam Disiplin Murid
Memperjelaskan bidang kuasa guru dalam pengurusan disiplin murid secara beretika dan berperikemanusiaan tanpa rasa takut terhadap implikasi undang-undang yang tidak munasabah.
Perlindungan Reputasi dan Maruah Profesion
Mengawal penyebaran maklumat, rakaman atau tuduhan tidak berasas terhadap guru di media sosial dan platform digital yang boleh menjejaskan reputasi individu serta imej profesion keguruan.
Penubuhan Jawatankuasa Bebas Perlindungan Guru
Penubuhan badan bebas di peringkat kebangsaan dan negeri yang berfungsi sebagai platform rujukan, advokasi dan pemantauan terhadap kes-kes melibatkan keselamatan, kebajikan dan hak profesional guru,” ujarnya.
Ujar beliau lagi pihaknya percaya bahawa penggubalan Akta Perlindungan Guru ini bukan bertujuan meletakkan guru di atas undang-undang, sebaliknya untuk mewujudkan keseimbangan antara akauntabiliti dan perlindungan demi memastikan sistem pendidikan negara dapat berfungsi dalam suasana yang selamat, berintegriti dan berwibawa.
Pada masa yang sama pihaknya turut menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah bersetuju melaksanakan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi Tahun 4 dan Tingkatan 3 secara berpusat, dengan pemfokusan empat subjek utama di peringkat Tahun 4 dan lima subjek utama di peringkat Tingkatan 3.
“Sesungguhnya pengumuman ini telah menjawab persoalan sama ada UPSR dan PT3 perlu atau tidak dilaksanakan semula. Dengan pelaksanaannya kelak, diharapkan murid khususnya murid Tahun 5 dan 6 akan difokuskan kepada aspek pengukuhan bagi murid cemerlang serta pemulihan bersasar kepada murid yang memerlukan, khususnya dalam penguasaan asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira,” tambahnya.- UMNO Online
