Konsep Rumah Bangsa Perkukuh Semangat Kekeluargaan – Adzly Manas
KUALA LUMPUR, 22 Jan – Pengamal Undang-undang, Adzly Ab Manas berkata Rumah Bangsa ialah satu inisiatif penyatuan yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai langkah memperkukuh kembali kesepaduan dalaman parti.
Katanya, konsep ini amat baik kerana ia bertujuan menyatukan semula bekas ahli parti serta mereka yang pernah terpinggir akibat perbezaan pandangan sebelum ini.
“Rumah Bangsa ini merupakan satu simbol keterbukaan UMNO. Ia menggambarkan sebagai “rumah asal” di mana ahli dilahirkan dan dibesarkan, serta sentiasa bersedia menerima kepulangan mereka demi memperkukuh semangat kekeluargaan dan kekuatan parti.
“Ia membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli serta pemimpin yang pernah keluar atau menjauhkan diri daripada parti untuk kembali bersama UMNO, demi memperkukuh semula saf perjuangan dan mempereratkan penyatuan dalam kalangan orang Melayu berlandaskan prinsip perpaduan, keterbukaan serta kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Usaha ini juga merupakan salah satu persediaan penting UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Langkah ini juga dilihat sebagai satu strategi untuk memperkasakan perpaduan Melayu-Islam dan memulihkan kredibiliti parti,” katanya kepada UMNO Online.
Adzly, yang juga Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang UMNO Bahagian Sungai Buloh, menambah bahawa penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi meneliti serta menyelaras proses kemasukan semula ahli merupakan satu mekanisme penting untuk memastikan agenda penyatuan dilaksanakan secara tersusun, berhemah dan berlandaskan perlembagaan parti.
“Penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa (Musyawarah Nasional) bagi meneliti serta menyelaras proses kemasukan semula ahli, sama ada secara individu mahupun secara en bloc dan merupakan satu langkah strategik UMNO.
“Bagi memastikan agenda penyatuan tersebut dilaksanakan secara tersusun, berdisiplin dan berlandaskan perlembagaan parti, sekali gus memperkukuh kerjasama politik yang lebih inklusif, relevan dan selari dengan realiti serta cabaran landskap politik semasa negara,” jelasnya.
Seterusnya kata beliau, tiada keperluan bagi UMNO untuk meninggalkan Kerajaan Persekutuan, malah langkah yang digerakkan melalui gagasan Rumah Bangsa ini memperjelaskan komitmen dan usaha murni UMNO ke arah penyatuan bangsa Melayu secara lebih menyeluruh.
“Tiada keperluan bagi UMNO untuk meninggalkan Kerajaan Persekutuan malahan ia memperjelaskan usaha parti ke arah satu usaha murni penyatuan bangsa Melayu.
“Pendekatan berkenaan penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti serta memelihara kestabilan politik negara demi kepentingan rakyat dan masa depan Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online
