Gagasan Presiden UMNO Martabatkan Masa Depan Bangsa – Haslinda
KUALA LUMPUR, 21 Jan – Rumah Bangsa UMNO sebagai satu wadah penyatuan dan perjuangan, menyelami dan merasai denyut nadi akar umbi dan cita-cita masa depan bangsa dirangkum dalam satu tekad yang utuh.
Exco Wanita UMNO, Haslinda Salleh berkata ia lahir daripada kesedaran bahawa kekuatan Melayu bukan sekadar pada struktur dan kuasa, tetapi pada kesatuan jiwa, nilai dan kesetiaan yang tidak pernah luntur.
Katanya, gagasan Rumah Bangsa UMNO yang diangkat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencerminkan atu kesedaran mendalam untuk menyatukan kembali kekuatan Melayu di bawah satu perjuangan yang inklusif dan berteraskan nilai.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengangkat gagasan Rumah Bangsa sebagai rumah besar perjuangan yang inklusif sifatnya, teguh asasnya, dan luas pintunya. Di sinilah akar sejarah dihormati, perbezaan diraikan dengan hikmah dan komitmen kepada agama, bangsa dan tanah air diperkukuh demi kelangsungan generasi.
“Rumah Bangsa menjadi ruang musyawarah yang menyatukan, medan yang menyembuhkan perpecahan dan tempat menyemai keyakinan baharu. Suara akar umbi dipelihara, kebijaksanaan pemimpin dirangkul dan generasi muda diberikan ruang untuk melangkah ke hadapan sebagai pewaris perjuangan.
“Ini bukan sekadar sebuah simbol, tetapi sebuah ikrar. Selagi rumah ini dijaga dengan amanah dan semangat kebersamaan, selagi itulah Melayu akan terus berdiri, parti akan terus membangun sebagai wadah perjuangan yang relevan, berprinsip dan setia membela rakyat serta maruah bangsa,” katanya kepada UMNO Online.
Haslinda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang menyeru seluruh ahli akar umbi parti dan pendukung UMNO agar kembali bersatu di bawah datu wadah perjuangan sebagai asas memperkukuhkan kekuatan bansga.
“Mari semua kita bersama, kembali pulang dan berdatangan serta mampir dan masuk ke rumah ini. Rumah yang dibina atas kejujuran dan kebersamaan, rumah yang menerima setiap anak perjuangan tanpa prasangka, rumah yang mengingatkan kita bahawa kekuatan bangsa bermula dengan kesatuan,” ujarnya. – UMNO Online
