Aminudin: TVET Platform Terbaik Perkasa Masa Depan Anak Muda

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Ketua UMNO Kubang Pasu, Datuk Aminudin Omar menyifatkan pelaksanaan pelbagai program menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai satu usaha berkesan dalam memperkasa masa depan anak-anak remaja, khususnya lepasan akademik yang memerlukan laluan pendidikan dan kerjaya lebih praktikal.

Menurut beliau, inisiatif TVET yang digerakkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sejak peringkat awal telah menunjukkan impak yang positif dan menyeluruh, bukan sahaja dari segi peningkatan kemahiran malah dalam membuka peluang pekerjaan serta keusahawanan kepada golongan muda.

Katanya, penganjuran Hari TVET Giat MARA Kedah yang berlangsung di Pusat Giat MARA Kubang Pasu jelas membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam mendekati anak muda serta memberi pendedahan awal terhadap bidang kemahiran yang semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran kerja.

“Hari TVET Giat MARA Kedah bertempat di Pusat Giat MARA Kubang Pasu. Saya dijemput untuk bersama-sama dalam program ini. Program ini sangat meriah dan sungguh bermanfaat kepada para pengunjung yang hadir.

“Tahniah kepada Giat MARA Kedah atas penganjuran Hari TVET ini. Semoga Giat MARA terus menjadi pilihan utama anak muda yang berminat dalam bidang TVET. Terima kasih Giat MARA,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Tambah beliau, program TVET menyediakan pelbagai kursus kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa, sekali gus membantu melahirkan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO