KUSKOP Terus Bantu Usahawan Berpotensi Tinggi Kembangkan Pasaran
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Mohamad Alamin memaklumkan kementerian menetapkan komitmen pembiayaan sehingga RM15 bilion bagi tahun 2026 untuk memperkukuh akses modal dan meningkatkan kapasiti perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di seluruh negara.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata kemudahan pembiayaan ini dilaksanakan melalui agensi di bawah KUSKOP, antaranya TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp., Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).
“Pembiayaan juga diberikan kepada usahawan mikro termasuk penjaja dan peniaga kecil bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan, di samping menyokong usahawan berpotensi tinggi untuk mengembangkan pasaran.
“Pembiayaan turut merangkumi usahawan kali pertama dan sedia ada yang memerlukan pembiayaan tambahan bagi meningkatkan skala perniagaan,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menjawab Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) berkenaan sasaran bantuan berjumlah RM 15 bilion yang disediakan untuk usahawan seluruh negara sepanjang tahun 2026.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kimanis itu berkata berdasarkan pencapaian sehingga Oktober 2026, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM12.15 bilion atau 81 peratus daripada sasaran RM15 bilion bagi tahun 2026, yang memanfaatkan 313,912 usahawan dan koperasi.
Katanya ia termasuk sekurang-kurangnya 52,299 usahawan yang mendapat akses pembiayaan buat kali pertama.
“Daripada jumlah tersebut, Bank Rakyat mencatatkan pembiayaan tertinggi sebanyak RM4.8 bilion, diikuti SME Bank (RM3.49 bilion), AIM (RM2.55 bilion), TEKUN Nasional (RM1.13 bilion), SKM (RM93.23 juta), SME Corp. (RM79.3 juta) dan PKK (RM5.62 juta).
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperluas akses pembiayaan kepada usahawan baharu, di samping menyokong pertumbuhan dan pengembangan perniagaan sedia ada,” ujar beliau.
Dalam itu beliau turut memaklumkan akses pembiayaan kepada golongan mikro diperluas apabila KUSKOP memberikan tumpuan kepada pembiayaan berskala kecil yang lebih mudah diakses.
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 sahaja, sebanyak RM4.02 bilion pembiayaan mikro telah disalurkan kepada 310,497 usahawan mikro melalui agensi pembiayaan berkaitan. Pendekatan ini penting bagi memastikan peniaga kecil, penjaja dan usahawan yang mempunyai kekangan mendapatkan pembiayaan, terus mendapat peluang untuk membangunkan perniagaan.
“Secara keseluruhan, KUSKOP akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif Kementerian melalui peluasan capaian pembiayaan, pemudahan proses permohonan serta pemantauan prestasi penyaluran dana pembiayaan,” ujar beliau. – UMNO Online
