KESUMA Digesa Perkasa Kebajikan Pekerja ‘Freelance’, Semak Kadar EBM

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berharap kerajaan memberi perhatian terhadap kelompok pekerja bebas dan pekerja ekonomi gig susulan sebahagian besar golongan berkenaan masih berdepan pendapatan rendah serta kekurangan perlindungan sosial.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata perkembangan tersebut bagaimanapun menimbulkan persoalan mengenai kemampuan pekerjaan berasaskan gig dalam menjamin kehidupan yang selesa dan masa depan pekerja.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa ekonomi gig telah membuka peluang kepada rakyat untuk menjana pendapatan tanpa terikat dengan pekerjaan tetap.

“Namun, persoalan pokoknya ialah sejauh manakah pekerjaan ini mampu menjamin kehidupan yang selesa dan masa depan pekerja?

“Apakah langkah khusus KESUMA untuk menangani hakikat bahawa 51.5 peratus pekerja bebas di Malaysia memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan ini? D sebanyak 41.1 peratus pula, dilaporkan tidak mempunyai perlindungan sosial melalui KWSP atau PERKESO.

“KESUMA hendaklah mengadakan sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan dalam kadar segera,” katanya.

Mohd Isam berkata demikian ketika Perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu beliau turut sama menyeru agar KESUMA mengkaji semula kadar isu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) RM1,000 supaya bantuan tersebut benar-benar bersesuaian dengan kos perpindahan semasa.

Katanya, ini kerana pekerja yang kehilangan pekerjaan dan menerima tawaran kerja di lokasi berbeza selain perlu menanggung pelbagai kos, termasuk perjalanan, bayaran pendahuluan sewa rumah, pengangkutan harian serta perbelanjaan keluarga sepanjang tempoh penyesuaian di tempat baharu.

“Menurut PERKESO, EBM merupakan bayaran one-off kepada individu-individu yang kehilangan pekerjaan bermula 1 Oktober 2026 dan menerima pekerjaan baharu yang terletak sekurang-kurangnya 100KM dari kediaman.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, adakah RM1,000 benar-benar mencukupi untuk membantu seseorang pekerja memulakan kehidupan di tempat baharu?

“Adakah KESUMA mempunyai kajian mengenai purata kos perpindahan pekerja yang terpaksa menerima pekerjaan baharu melebihi 100KM dari tempat tinggal mereka?

“Saya menyeru supaya KESUMA mengkaji semula kadar EBM RM1,000 ini supaya bantuan tersebut benar-benar bersesuaian dengan kos perpindahan semasa,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO