Melaka Laksana Jelajah Penerangan UMNO Peringkat Negeri, Jelaskan Isu Semasa

AYER KEROH, 23 Nov – Jelajah Penerangan UMNO Malaysia meneruskan misinya dengan mengadakan sesi penerangan kepada ahli akar umbi UMNO di Auditorium Kompleks CMI Melaka International Trade Centre (MITC), malam tadi

Program yang dilaksana hasil cetusan idea Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said bertujuan untuk memberikan penjelasan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan perkembangan politik di negara ini.

Jelajah ini julung kali diadakan bagi peringkat negeri dan Melaka merupakan negeri yang pertama mengadakan program tersebut dengan menghimpunkan ketua-ketua penerangan dari seluruh Melaka.

Program dilaksana dengan ucapan Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan; diikuti aplikasi podcast ‘Cikgu Undang-undang’ terdiri dari Azalina yang menerangkan berkaitan perkembangan teknologi dan senario politik semasa. Sesi ini turut disertai pengamal undang-undang, Hamidi Mohd Noh dan Pengarah Komunikasi kepada Ketua Penerangan, Ahmad Razis Rashid.

Dengan penyertaan seramai lebih 300 orang peserta, program ini berlangsung lancar dan mereka yang hadir menunjukkan semangat kesatuan serta kerjasama antara bahagian-bahagian seluruh negeri Melaka.

Pendekatan yang dilakukan oleh Penerangan UMNO Malaysia dalam program ini mampu menjelaskan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa dalam usaha membersihkan persepsi yang dimainkan oleh pihak lawan.

Jelajah Penerangan ini bukan sahaja bertujuan untuk mendidik dan memberi maklumat, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi selain maklumat langsung dari pemimpin tertinggi parti.

Dengan adanya sesi seperti ini, ia dapat memperkukuhkan lagi semangat juang dan solidariti dalam kalangan ahli UMNO, serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran politik akan datang.

Untuk rekod, program Jelajah Penerangan ini telah melaksanakan program di bahagian-bahagian UMNO seluruh negara. Sebanyak 32 bahagian-bahagian UMNO seluruh negara telah melaksanakan program Jelajah Penerangan UMNO sepanjang tahun 2024. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit