Fasa Pertama Menjelang PRN Sabah Terus Diperkasakan – Musliati

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Usaha pengukuhan dan penerangan gerak kerja kepada kepimpinan di peringkat cawangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu bukan sahaja diteruskan seperti biasa malah terus diperkasakan.

Apatah lagi menurut Ketuanya, Musliati Moslimin menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang sudah pastilah pelbagai persiapan perlu dilakukan di pelbagai peringkat bagi melicinkan gerak kerja kelak.

Kata beliau fasa pertama dan fasa seterusnya akan dipergiatkan lagi dan insya-Allah seluruh jentera akan disiapkan sebaik mungkin dalam usaha membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) nanti.

“Kembali bertugas… semalam kami mengadakan mesyuarat serta perjumpaan dengan beberapa Ketua Cawangan UMNO Kota Kinabalu dengan pelbagai pengisian termasuklah memberikan penerangan tentang gerak kerja masing-masing bagi menghadapi PRN akan datang. Ini adalah fasa pertama dan ia akan berterusan ke fasa seterusnya sehingga selesai.

“Segala perancangan kami lakukan sebaiknya dan usaha awal seumpama ini adalah sepertimana yang ditekankan tadi adalah untuk memastikan perjalanan menghadapi PRN berjalan sebaiknya apabila ianya diumumkan nanti,” katanya kepada UMNO-Online.

Musliati yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia seterusnya menambah sungguhpun usaha seumpama itu digiatkan, segala program yang diatur akan berjalan seperti biasa sepertiman sebelum-sebelumnya.

Tegas beliau apa yang penting dalam situasi dan saat ini adalah kerjasama serta muafakat seluruh kepimpinan dan seluruh jentera untuk bersama-sama dalam satu matlamat serta satu tujuan iaitu untuk membantu kemenangan parti kelak.

“Muafakat dan kesepaduan sesama kita amat penting dan inilah yang saya harapkan dan insya-Allah kita sama-sama bergerak dalam satu saf untuk berdepan segala cabaran dan segala rintangan demi kejayaan bersama, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit