Belanjawan Negeri Sembilan 2025 Strategi Penting Setelah Dua Tahun Kerajaan Perpaduan – Mohd Zaidy

JEMPOL, 21 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menganggap Belanjawan Negeri Sembilan 2025 yang akan dibentangkan esok sebagai langkah strategik yang sangat penting, terutamanya setelah dua tahun Kerajaan Perpaduan berusaha memulihkan negara pasca-pandemik dan menstabilkan ekonomi.

Beliau percaya bahawa belanjawan ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri berjalan selari dengan kemampanan dan keadilan, dalam menjamin kemakmuran yang berterusan.

“Saya sangat menghargai usaha kerajaan negeri yang memberi tumpuan kepada aspek pembangunan infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan, dan kesejahteraan sosial dalam belanjawan ini.

“Selain itu, pembangunan ekonomi yang mampan tanpa mengabaikan kesejahteraan alam sekitar adalah suatu langkah yang sangat perlu diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap agar lebih banyak program pembangunan luar bandar akan dilaksanakan, khususnya di kawasan Jeram Padang, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat serta membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda.

“Melalui belanjawan ini, saya berharap kerajaan negeri dapat memperuntukkan lebih banyak dana untuk memperkasa institusi pendidikan di setiap peringkat, serta menyediakan latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa.

“Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing negeri, malah membantu golongan belia untuk memperoleh pekerjaan yang berkualiti.

“Saya juga ingin menzahirkan harapan agar kerajaan negeri terus memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan sosial, terutamanya untuk golongan kurang bernasib baik, warga emas, dan orang kurang upaya.”

Beliau berharap agar kerajaan negeri memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam pembangunan negeri ini.

“Sebagai wakil rakyat di Jeram Padang, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Menteri Besar dan kerajaan negeri atas segala usaha yang telah dan akan diteruskan.

“Semoga Belanjawan Negeri Sembilan 2025 dapat menjadi titik tolak kepada kemakmuran yang lebih besar bagi seluruh rakyat negeri ini,” katanya lagi.
Dilaporkan, pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2025 akan disampaikan esok oleh menteri besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit