Kepentingan Rakyat Jadi Keutamaan, UMNO Lahad Datu Fokus Laksana Gerak Kerja

LAHAD DATU, 12 Sept – Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kepada UMNO sebagaimana dilaksana oleh UMNO Bahagian Lahad Datu yang melakukan gerak kerja dalam pelbagai aplikasi demi kesejahteraan secara holistik.

Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, dalam agenda memastikan fokus rakyat mendapat keutamaan maka beliau telah melakukan jalinan kerjasama dengan kepimpinan parti dan juga menteri-menteri bertanggungjawab bagi hal-hal yang perlu diatasi segera.

Dalam hal ini beliau menzahirkan penghargaan kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri yang telah datang ke bahagian terbabit.

“Alhamdulillah, pelbagai cadangan dan pandangan AJK Bahagian UMNO Bahagian Lahad Datu mendapat respon dari Datuk Seri. Beliau juga telah memberikan pelbagai nasihat untuk kami di Lahad Datu meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya.

Dalam hal ini Sharif Musa mengakui bahawa sokongan kepimpinan atasan UMNO khususnya yang mempunyai jawatan dalam kabinet amat penting dengan turun padang dan bersama-sama anggota bahagian dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

“UMNO ini bukan hanya memperjuangkan kepentingan ahli-ahlinya sahaja tetapi juga keutamaan kepada rakyat secara keseluruhan.

“Insya-Allah, kita akan melakukan yang terbaik untuk semua kerana UMNO ini adalah pari yang berkhidmat untuk membela rakyat, dulu, kini dan selamanya.”

Kerana itu katanya, mengambil kesempatan kehadiran Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, beliau yang telah menyuarakan isu berkaitan kesesakan yang dihadapi di Pejabat JPN Lahat Datu.

“Hal ini adalah antara perkara yang kita suarakan agar semua pihak mendapat keselesaan, sama ada yang bertugas ataupun orang ramai yang datang ke pejabat ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.