JETP Muar Pacu Pertumbuhan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat – Onn Hafiz

MUAR, 17 Ogos – Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Muar akan menjadi antara instrumen penting kerajaan negeri dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing daerah serta memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perkara itu antara fokus yang diberi penekanan ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke daerah Muar, termasuk menerima pembentangan mengenai JETP Daerah Muar yang merangkumi pelbagai keutamaan dan inisiatif strategik.

Menurut beliau, pembangunan Muar perlu dirancang secara lebih tersusun dan menyeluruh dengan mengambil kira potensi, keperluan serta cabaran yang dihadapi masyarakat setempat.

.

“Setiap perancangan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi impak secara langsung kepada rakyat, selain memperkukuh daya saing Muar sebagai antara daerah penting dalam pertumbuhan ekonomi Johor,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan setiap inisiatif pembangunan yang dirancang mengambil kira kepentingan rakyat serta mempunyai kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam lawatan sama, Onn Hafiz turut berkesempatan beramah mesra bersama masyarakat Muar menerusi Majlis Jalinan Rakyat di Laman Bakau Parit Kassim.

Katanya, pertemuan secara langsung dengan masyarakat amat penting bagi membolehkan kerajaan terus mendengar pandangan, aspirasi serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

“Pertemuan sebegini amat penting untuk kita terus mendengar pandangan dan aspirasi masyarakat, di samping melihat sendiri potensi kawasan ini untuk diperkasa
sebagai destinasi rekreasi, pelancongan dan aktiviti komuniti,” katanya.

Pada masa sama kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah RM400,000 bagi sembilan projek meliputi:

1. RM100,000 bagi tiga kerja menaik taraf sistem perparitan di sekitar Bentayan melibatkan Kampung Parit Tiram, Jalan Daud, Lorong Ahmad dan Lorong Serkam 1.

2. RM200,000 bagi kerja membaik pulih culvert, pemasangan lampu solar serta pembersihan dan penyelenggaraan sistem perparitan di sekitar Lenga dan Jambatan Sungai Tui.

3. RM100,000 bagi membaiki jalan serta sistem saliran di Jalan Parit Samsu Darat dan Parit Kassim, Mukim Parit Jawa.

Onn Hafiz berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meninjau kerja-kerja penambahbaikan di Kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) Parit Perupok.

“Dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Majlis Perbandaran Muar, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM5 juta bagi kerja mengecat semula, pembaikan struktur bumbung, penggantian tangki air, penambahbaikan sistem mekanikal serta lain-lain kerja berkaitan.

“Keseluruhan projek disasarkan siap pada Mac 2027. Semoga segala usaha ini terus membuka lebih banyak peluang, meningkatkan kualiti hidup serta mengangkat potensi Muar sebagai daerah yang semakin maju, berdaya saing dan sejahtera, seiring dengan aspirasi Maju Johor 2030,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO