Konvoi Amal Semarak Patriotisme, Erat Hubungan PDRM Dengan Masyarakat
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berbesar hati merasmikan Program Konvoi Amal Kontinjen Negeri Sembilan bersama Ipoh Superbike Club (ISBC) sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh berkata program berkenaan merupakan antara inisiatif yang menggabungkan semangat patriotisme, ukhuwah dan kebajikan masyarakat menerusi penyertaan warga PDRM serta komuniti permotoran.
“Hari ini saya merasmikan Program Konvoi Amal Kontinjen Negeri Sembilan bersama ISBC di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK), IPK Negeri Sembilan.
“Program ini melibatkan kira-kira 150 peserta dan berlangsung selama lima hari empat malam merentasi beberapa negeri sebelum berakhir di Kuala Lumpur,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Ismail berkata program tersebut turut membawa misi kebajikan menerusi penyampaian sumbangan kepada keluarga warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rumah kebajikan.
Katanya, inisiatif ini juga sekaligus memperkukuh hubungan antara pasukan keselamatan dengan komuniti setempat.
“Lebih bermakna, konvoi ini turut membawa misi kebajikan dengan menyampaikan sumbangan kepada 120 keluarga warga PDRM dan 12 rumah kebajikan.
“Program ini bukan sekadar meraikan Hari Polis dan Bulan Kemerdekaan, tetapi turut mengeratkan hubungan PDRM dengan masyarakat serta menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan anggota dan keluarga mereka,” ujar beliau.
Sementara itu menerusi perkongsian berbeza, Ismail turut sama menerima kunjungan hormat daripada KEMAS Negeri Sembilan, yang diketuai oleh Pengarah KEMAS Negeri Sembilan, Norein Mohd Shukor.
Katanya pertemuan tersebut bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan usaha memperkukuh kerjasama serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat di negeri ini.
“Menerima kunjungan hormat daripada KEMAS Negeri Sembilan di pejabat saya pagi ini yang diketuai oleh Pengarah KEMAS Negeri Sembilan, Norein Mohd Shukor.
“Terima kasih atas kunjungan dan perkongsian yang disampaikan. Semoga kerjasama yang terjalin terus diperkukuh demi manfaat rakyat Negeri Sembilan,” katanya lagi. – UMNO Online
