PAU 2026: Kembali Jadi Suara Rakyat, Tentu Hala Tuju Parti
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menjadi medan untuk parti kembali sebagai suara rakyat dan menentukan hala tuju terbaik, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Nur Aizat Noor Azam.
Ini kerana katanya, UMNO kini menjadi sasaran hentaman dan kritikan di persidangan PKR dan Dap, namun masih diperlukan untuk memastikan mereka kekal berkuasa dalam Kerajaan Perpaduan.

“PKR dah buat keputusan. Dap dah buat keputusan. Pas pula akan bermuktamar beberapa hari sebelum PAU 2026. Persoalannya, apakah UMNO juga akan berani membuat satu keputusan besar pada 9 hingga 12 September nanti? Selepas apa yang berlaku hujung minggu lalu, saya percaya PAU 2026 tidak boleh lagi menjadi sebuah perhimpunan biasa-biasa.
“Dalam pentas Dap, UMNO dihentam dan dikritik oleh jurucakap mereka. Malah Dap sendiri membentangkan usul dan membuka pengundian kepada perwakilan untuk menentukan sama ada mereka mahu terus kekal atau keluar daripada kerajaan. Namun selepas segala kritikan dan perbahasan, akhirnya mereka memilih untuk terus kekal dalam Kerajaan.
“PKR juga tidak kurang hebatnya. Dalam Kongres Nasional mereka, UMNO dan pimpinan UMNO menjadi sasaran kritikan serta serangan daripada pelbagai jurucakap. Tetapi akhirnya, Presiden PKR sendiri menegaskan bahawa mereka mahu meneruskan Kerajaan Perpaduan bersama UMNO kerana kita telah membantu membentuk kerajaan ini hampir empat tahun lalu.
“Mudah kata, UMNO boleh dihentam, dikritik dan dipersalahkan. Tetapi apabila sampai kepada soal kelangsungan kerajaan, UMNO juga yang masih diperlukan. Dalam masa yang sama, Pas pula akan mengadakan muktamar mereka pada awal September, hanya beberapa hari sebelum bermulanya PAU. Sebab itu perjalanan politik tanah air dalam tempoh sebulan dua ini amat menarik untuk diperhatikan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Merbok berkata, UMNO perlu membuat keputusan yang mengambil kira perubahan sentimen orang Melayu-Islam agar kembali kepada parti.
“Secara peribadi, saya amat berharap UMNO juga mempunyai keberanian untuk membuat keputusan yang besar dan penting dalam PAU kali ini. Keputusan demi maruah UMNO. Keputusan yang mendengar suara ahli dan akar umbi… dan paling penting, keputusan yang mengambil kira perubahan sentimen orang Melayu dan Islam yang semakin kembali mendekati UMNO.
“Keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan telah menghantar isyarat yang cukup jelas. Momentum ini jangan disia-siakan. Rakyat semakin penat mendengar slogan yang sedap tetapi akhirnya kosong. Propaganda politik tidak akan mampu mengisi periuk nasi rakyat. Kos sara hidup masih menghimpit. Harga barang terus menjadi keluhan.
“Kehidupan rakyat semakin mencabar, malah sekarang pergerakan harian pun terpaksa dikira dan dikawal kerana kuota subsidi minyak yang tidak mencukupi bagi sebahagian rakyat. Dalam keadaan seperti ini, UMNO perlu kembali menjadi suara rakyat.
“Bukan semata-mata memikirkan bagaimana mahu terus berada dalam kerajaan, tetapi berani bertanya satu persoalan yang lebih besar. Apakah kedudukan dan hala tuju yang terbaik untuk UMNO, untuk orang Melayu dan Islam, serta untuk rakyat Malaysia keseluruhannya?” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa PAU 2026 merupakan masa terbaik untuk membuat satu keputusan besar demi maruah parti, suara akar umbi dan mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO.
“Kalau parti-parti lain boleh bermesyuarat, berbahas dan membuat keputusan mengenai kedudukan mereka dalam Kerajaan, UMNO juga berhak untuk menilai kedudukan dan hala tujunya sendiri.
“Saya tidak fikir PAU kali ini wajar berakhir sekadar dengan ucapan, perbahasan dan tepukan seperti biasa. PAU 2026 perlu menjadi PAU yang menentukan arah. Demi maruah UMNO. Demi perjuangan yang kita warisi. Demi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti ini. Kita nantikan 9 hingga 12 September ini.
“Mungkin PAU 2026 inilah masanya untuk UMNO membuat satu keputusan besar demi maruah parti, suara akar umbi dan mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
