PAU 2026 Medan Perkukuh Parti, Kepentingan Orang Melayu Dan Bumiputera
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 perlu dijadikan peluang penting untuk UMNO bermuhasabah, menilai perjalanan parti serta menentukan hala tuju terbaik bagi masa depan.
Menurut beliau, apa jua keputusan yang bakal dibuat pada PAU 2026 perlu berasaskan suara ahli, pandangan akar umbi serta kepentingan rakyat.
“UMNO tidak perlu takut untuk membuat penilaian terhadap kedudukan dan peranannya dalam Kerajaan Perpaduan. Dap telah membuat keputusan. PKR juga telah menyatakan pendirian mereka. PAS pula akan mengadakan Muktamar tidak lama sebelum Perhimpunan Agung UMNO.
“Pada masa yang sama, kita juga perlu melihat secara rasional apakah yang terbaik untuk kestabilan negara, kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, kepentingan semua rakyat serta masa depan UMNO sendiri.
“Bagi kami di UMNO Bahagian Subang, PAU bukan sekadar tempat berucap dan berbahas. PAU adalah medan untuk memperkukuh perjuangan, memperbaiki kelemahan dan membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Armand menambah kos sara hidup, harga barang, pekerjaan, pendidikan, perumahan dan kesejahteraan keluarga adalah perkara yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat berbanding politik semata-mata.
Katanya, UMNO perlu terus memainkan peranan sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat dengan membawa penyelesaian terhadap isu dan permasalahan yang dihadapi.
“Kita percaya UMNO masih mempunyai ruang yang besar untuk bangkit. Namun kebangkitan itu mesti bermula dengan keberanian untuk bermuhasabah, kesediaan untuk berubah dan kesatuan dalam perjuangan.
“Apa jua keputusan PAU 2026 nanti, biarlah ia menjadi keputusan yang memperkukuh UMNO, menyatukan ahli, mengangkat suara akar umbi dan mengembalikan keyakinan rakyat,” ujar beliau.
Untuk rekod, PAU 2026 akan berlangsung selama empat hari, bermula 9 hingga 12 September depan. – UMNO Online
