Media Sosial Pengaruhi Persepsi Dan Minda Rakyat, Jentera Parti Perlu Aktif

ROMPIN, 11 Sept – Maklumat-maklumat yang berada di dalam media sosial kini menjadi faktor utama mempengaruhi persepsi dan minda rakyat di negara ini, ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam.

Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, berkata disebabkan itu untuk menjadi sebuah kerajaan yang stabil, terutamanya kerajaan yang ditubuhkan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 mesti berusaha keras menangani kesan media sosial.

Malaysia katanya tidak boleh mengikut jejak langkah sebagaimana contoh negara China yang menyekat aplikasi Facebook, X atau Twitter dan WhatsApp serta memperkenalkan media sosial mereka sendiri supaya ia boleh dikawal.

Ini kerana tambah Lokman, ia melibatkan pertimbangan negara berkaitan indeks hak asasi manusia dan indeks kebebasan bersuara.

Berucap di hadapan lebih dua ratus ahli akar umbi di Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Rompin di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak, Keratong di sini baru-baru ini, Lokman menyeru jentera parti khususnya penerangan bergiat aktif dalam media sosial selain fokus kepada teknik bersemuka.

“Suka tak suka penerangan secara ‘offline’ tak cukup… ‘offline’ atau secara bersemuka boleh buat tetapi kena sulam dengan ‘online’. Gunakan Facebook, TikTok kongsikan bahan dan apa bahagian boleh buat.

“Guna WhatsApp Community. Setiap kali ada program, salurkan maklumat dalam komuniti ini. Input-input yang diberi Penerangan UMNO Malaysia dan Komunikasi UMNO Malaysia masukkan dalam grup.

“Kenal pasti pengundi juga dan WhatsApp ‘blasting’. Begitu juga dengan WhatsApp Channel. Saya yakin kita boleh guna media ini untuk mempromosikan aktiviti parti,” katanya.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Seri Hasan Arifin; Timbalan Ketua UMNO bahagian; Datuk Ir Razali Kassim merangkap Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah; dan Ketua Wanita UMNO bahagian Datin Shamsiah Arshad.

Lokman turut menyiarkan ceramahnya itu secara langsung di platform TikTok rasminya https://www.tiktok.com/@datolokmanadam, mengulas beberapa isu dan menjawab pertanyaan yang dilontarkan oleh ahli akar umbi.

Antaranya mengenai tuduhan bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kini tiada lagi kebebasan media.

“Saya dan ramai lagi yang merupakan generasi yang hidup zaman Mahathir. Mahathir guna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ‘ikut suka aku’. Zaman dia dulu nak berhimpun lebih lima orang tiada permit polis, boleh kena penjara. Saya pun pernah kena ISA.

“Ketika itu surat khabar kalau tulis mengkritik dia, surat khabar boleh digantung tiga bulan, enam bulan sesuka hati dia. Zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) diberi kebebasan media, zaman Datuk Seri Najib Razak hapus ISA dan mahasiswa boleh berpolitik. Hari ini lebih jauh bebas untuk bersuara tetapi ada kesannya,” tegasnya.

Begitu juga Lokman membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kononnya mereka tempat bergantung harap orang Melayu/Islam kini.

“Macam mana Muhyiddin ini nak jaga Melayu, Islam. Raja Melayu payung agama Islam, bangsa kita dan rakyat Malaysia… kalau payung orang Melayu/Islam pun dia tak hormat, macam mana dia boleh dabik dada dia kata pertahankan orang Islam dan orang Melayu.

“Betapa dia tidak menghormati Raja-Raja Melayu dan tak pernah fikir tentang Melayu/Islam kerana tolak tawaran Yang di-Pertuan Agung XVI untuk mewujudkan kerajaan dua pertiga Melayu dan Islam,” katanya.

Malah katanya, tujuan penubuhan Bersatu adalah untuk memecah-belahkan orang Melayu dan seterusnya mahu menggantikan UMNO. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.