Terus Komited Perkasa Belia Dan Sukan Demi Masa Depan Negeri – Mohd Jafni

KULAI, 15 Jun – Kerajaan Negeri Johor terus komited dalam menyokong pembangunan belia dan sukan sebagai usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang, berdaya saing dan berdisiplin demi masa depan negeri.

Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pelaburan terhadap generasi muda hari ini merupakan pelaburan yang amat penting bagi memastikan Johor terus memiliki modal insan berkualiti pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program 11th SKID Open Taekwondo Championship 2026 yang berlangsung di IOI Mall Bandar Putra, semalam.

Menurut beliau, penganjuran kejohanan sukan seperti taekwondo bukan sahaja dapat melahirkan atlet berbakat, malah berperanan membentuk sahsiah, kepimpinan dan daya tahan dalam kalangan anak muda.

“Sukan merupakan platform terbaik untuk memupuk nilai-nilai murni seperti disiplin, semangat berpasukan, hormat-menghormati serta keupayaan menghadapi cabaran dengan penuh keyakinan.

“Kerajaan Negeri Johor di bawah urus tadbir YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi sentiasa komited menyokong pembangunan belia dan sukan kerana kita percaya bahawa pelaburan terhadap generasi muda hari ini adalah pelaburan terhadap masa depan Johor,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, jurulatih, ibu bapa dan semua peserta yang menjayakan kejohanan tersebut.

Tambah beliau, usaha memperkasa belia melalui sukan perlu diteruskan secara berterusan bagi memastikan lebih ramai anak muda tampil sebagai individu yang aktif, berdisiplin dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.

Mohd Jafni juga berharap kejohanan seperti ini akan terus menjadi platform melahirkan lebih ramai atlet muda yang mampu mengharumkan nama Kulai, Johor dan Malaysia di peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO