Pejabat Satelit JBG Pengerang Permudah Akses Bantuan Guaman Rakyat

PENGERANG, 15 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah merasmikan Pejabat Satelit Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di Mahkamah Pengerang, Johor, sebagai usaha memperluas akses kepada perkhidmatan bantuan guaman khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pengerang berkata pembukaan Pejabat Satelit JBG di Mahkamah Pengerang menjadi satu penanda aras baharu dalam usaha kerajaan membawa sistem keadilan terus kepada rakyat.

“Apabila bercakap tentang bantuan guaman, kita mesti memberikan perlindungan kepada rakyat supaya mereka mengetahui bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapatkan bantuan guaman,” katanya.

Ujarnya, pembukaan pejabat satelit itu membolehkan warga Pengerang mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan perundangan dengan lebih mudah tanpa perlu lagi melakukan perjalanan jauh ke Johor Bahru iaitu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk mendekatkan sistem keadilan kepada rakyat melalui pelbagai program termasuk Pusat Mediasi Malaysia dan Justice on Wheels (JoW).

Beliau turut menegaskan bahawa akses kepada keadilan bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya merupakan hak setiap rakyat yang perlu dipastikan dapat dinikmati tanpa mengira lokasi atau latar belakang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO