Gelaran ‘Undang Kelima’ Cemar Institusi Adat Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Saiful Yazan Sulaiman menyelar tindakan individu dipercayai pegawai kepada Menteri Besar yang menggelar Anthony Loke Siew Fook sebagai Undang Yang Ke-5 ketika Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Johol berkata ini kerana gelaran Undang bukan bahan jenaka politik sebaliknya mempunyai kedudukan, sejarah dan kemuliaannya yang tersendiri dalam sistem Adat Perpatih dan kenegaraan Negeri Sembilan.

“Perbuatan mengaitkan mana-mana pemimpin politik dengan gelaran Undang, walaupun atas alasan gurauan atau sindiran, adalah tidak wajar, tidak sensitif dan menunjukkan kegagalan memahami nilai serta kedudukan Institusi Adat Negeri Sembilan.

“Lebih mengecewakan apabila perkara seperti ini datang daripada individu yang berada dalam lingkungan pentadbiran kerajaan negeri yang sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati adat dan institusi negeri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Saiful dalam pada itu turut sama mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan pendirian beliau mengenai perkara ini.

Beliau malah berkata pegawai terbabit juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Negeri Sembilan dan Institusi Undang Yang Empat tanpa sebarang alasan atau helah.

“Menteri Besar tidak boleh berdiam diri atau berpura-pura menganggap perkara ini remeh. Kegagalan bertindak hanya akan memberikan gambaran bahawa sikap memperlekehkan institusi adat turut diterima dan dibenarkan oleh pentadbiran kerajaan negeri.

“Permohonan maaf oleh pegawai terbabit juga itu perlu dibuat segera bagi menunjukkan rasa tanggungjawab atas keterlanjuran yang telah berlaku.

“Rakyat Negeri Sembilan tidak akan sesekali membenarkan adat, institusi dan warisan negeri ini dipermainkan demi kepentingan atau retorik politik mana-mana pihak. Institusi adat bukan milik parti politik, institusi adat adalah maruah Negeri Sembilan,” ujar beliau.

Terdahulu, tular rakaman video Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan yang memaparkan pengacara majlis menggelar Anthony Loke sebagai “Tok Undang yang kelima” secara berseloroh. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO