Hormati Johor, Hentikan Politik Kredit Atas Projek Kerajaan
1. Saya telah membaca kenyataan balas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, terhadap kenyataan YAB Menteri Besar Johor berhubung isu penyelarasan program melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor.
2. Malangnya, seperti yang dijangka, penjelasan yang diberikan lebih tertumpu kepada pertandingan senarai kehadiran majlis dan acara rasmi, berbanding menjawab persoalan pokok yang dibangkitkan oleh YAB Menteri Besar Johor mengenai keikhlasan serta profesionalisme dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
3. Hakikatnya, kenyataan tersebut secara tidak langsung turut mengesahkan bahawa YAB Menteri Besar Johor dan barisan EXCO Kerajaan Negeri tidak pernah menolak kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Rekod jelas menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa memberikan komitmen terhadap pelbagai program dan projek yang melibatkan kementerian serta agensi Persekutuan demi kepentingan rakyat.
4. Justeru, adalah tidak wajar untuk cuba menggambarkan seolah-olah Kerajaan Negeri Johor enggan bekerjasama atau tidak memberikan sokongan terhadap usaha Kerajaan Persekutuan. Sebaliknya, Kerajaan Negeri sentiasa hadir, membantu dan menyokong pelaksanaan projek-projek strategik termasuk yang berada di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan.
5. Isu sebenar yang dibangkitkan bukanlah soal siapa hadir atau tidak hadir ke sesuatu majlis. Persoalan pokok ialah mengenai penyelarasan rasmi yang konsisten, profesional dan menghormati kedudukan institusi Kerajaan Negeri Johor sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan projek-projek utama negara.
6. Memberikan jemputan rasmi hanya beberapa hari sebelum sesuatu acara berlangsung, khususnya bagi projek berimpak tinggi yang melibatkan negeri ini, jelas menimbulkan persoalan mengenai tahap penyelarasan dan penghormatan terhadap Kerajaan Negeri. Perkara sebegini seharusnya tidak berlaku jika semangat kerjasama yang tulen benar-benar diamalkan.
7. Lebih-lebih lagi apabila projek-projek seperti Rapid Transit System Link (RTS), CIQ, VEP, ETS dan KTM Komuter Selatan melibatkan kepentingan besar rakyat Johor. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri tidak boleh dianggap atau dilayan sebagai pihak sampingan.
8. Sekiranya benar terdapat perbezaan antara lawatan kerja dan majlis rasmi kerajaan, maka prinsip yang sama juga perlu dihormati oleh semua pihak. Program kerajaan tidak sepatutnya dijadikan pentas untuk mana-mana parti politik menonjolkan diri atau mengutip kredit politik terhadap projek yang dibiayai oleh rakyat dan dilaksanakan oleh kerajaan.
9. KTM bukan milik mana-mana parti politik. Projek kerajaan bukan hak eksklusif mana-mana parti. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada keberhasilan projek dan manfaat kepada rakyat, bukannya perlumbaan untuk mendapatkan publisiti politik.
10. Rakyat Johor semakin matang dalam menilai. Bangsa Johor mampu membezakan antara pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat dengan mereka yang lebih gemar berpolitik di atas pentas projek kerajaan.
11. UMNO Johor akan terus mempertahankan prinsip bahawa hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mestilah diasaskan atas semangat saling menghormati, profesionalisme dan keikhlasan demi kepentingan rakyat Johor.

MD ISRAK ABDULLAH
Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor
