Beri Keyakinan Kepada Rakyat Untuk UMNO/BN Menang PRN Sabah Ke-17 – Jeffery Nor

KOTA KINABALU, 9 Sept – Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata mana-mana parti yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berhak memberikan keyakinan kepada rakyat lantas parti yang menang akan mengalas amanah untuk mentadbir.

Justeru katanya, bagi UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah tetap komited meneruskan usaha-usaha mendekati rakyat, mendengar keluh-kesah mereka dan membantu apa saja bentuk yang mampu diberikan.

Ujarnya usaha tersebut dibuat secara berterusan dan bukan hanya apabila menghampiri musim pilihan raya sahaja.

“Kepimpinan UMNO di semua bahagian boleh dikatakan setiap masa meneruskan lawatan turun padang dan melihat sendiri kesukaran hidup yang dilalui, keluhan soal insfrastruktur asas, jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan kemiskinan yang masih berlarutan walaupun kerajaan negeri telah mengeluarkan kenyataan garis kemiskinan tegar di negeri ini telah diselesaikan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan program Ziarah Kasih kepada beberapa orang penduduk yang uzur di Taman Jumbo Petagas, kelmarin.

Ketika diminta mengulas persediaan UMNO untuk menghadapi PRN ke-17, Jeffery berkata gerak kerja dan jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah dibentuk dan penerangan isu-isu semasa melalui program jelajah penerangan akan diteruskan.

Beliau berkata UMNO Sabah memberi jaminan manifesto BN pada PRN17 adalah aku janji yang mampu dilaksanakan.

“Ia bukannya janji bulan dan bintang atau satu gagasan besar sebagaimana yang dilakukan oleh parti lain yang akhirnya gagal ditunaikan dan rakyat terus menagih janji mereka sehingga kini.

“Manifesto BN Sabah dikeluarkan mengikut keupayaan BN untuk menunaikannya, ia bukan sekadar manifesto atau gagasan besar yang tidak mampu ditunaikan,” katanya.

Jeffery yang juga Pengerusi Penasihat Pusat Giat Mara Putatan berkata, parti politik apa pun yang ada namun akhirnya adalah keputusan berada di tangan rakyat Sabah yang akan memilih untuk membentuk kerajaan selepas PRN Ke-17.

“Memberikan keyakinan seperti ini perkara biasa bagi mana-mana parti yang menawarkan diri untuk bertanding. Kini majoriti rakyat di Sabah telah dapat menilai dan melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan negeri yang ada apabila hampir satu panggal memerintah tetapi pelbagai isu terutamanya kemudahan prasarana jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan kemiskinan yang sehingga kini gagal ditangani.

“Rakyat juga turut mempersoalkan integriti dan prinsip mereka yang sehingga kini masih gagal melaksanakan amanah maka PRN ke-17 ini adalah peluang terbaik bagi mereka memilih parti yang benar-benar telah terbukti mampu membawa kemajuan dan membantu rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.