UMNO Bebaskan Negara Dari Penjajah, Peranan Tidak Boleh Dinafi – Saifullah Ali

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Saifullah Ali berpandangan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 merupakan satu pencapaian besar yang tidak dapat dinafikan daripada peranan penting UMNO.

Katanya, UMNO ditubuhkan pada 1946 sebagai respon kepada Malayan Union yang mengancam kedudukan orang Melayu dan parti ini kemudiannya menjadi teraju utama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.

“Kemerdekaan Malaysia merupakan hasil daripada semangat dan perjuangan UMNO yang berjaya menyatukan rakyat dari seluruh pelusuk negara dalam mencapai matlamat bersama untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

“UMNO bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada perjuangan kemerdekaan, tetapi juga membentuk asas kepada pembinaan Malaysia yang moden, berdaulat dan merdeka.

“Oleh itu, peranan UMNO dalam sejarah kemerdekaan Malaysia adalah satu warisan yang tidak boleh dilupakan dan ia terus menjadi sebahagian daripada naratif nasional yang penting bagi generasi kini dan akan datang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata perjuangan UMNO menetang Malayan Union amat besar dan membawa kepada kesedaran nasionalisme yang menuntut kemerdekaan.

“UMNO bermula sebagai satu pergerakan untuk menentang Malayan Union yang memperlekehkan kedaulatan Raja-raja Melayu dan hak-hak orang Melayu. Penentangan ini mencetuskan kesedaran nasionalisme yang menjadi asas kepada usaha menuntut kemerdekaan.

“Setelah mencapai kemerdekaan, UMNO juga terus memainkan peranan penting dalam membangunkan negara melalui polisi-polisi pembangunan, ekonomi dan pendidikan yang merangkumi semua kaum sesuai dengan aspirasi kemerdekaan,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Saifullah menasihati generasi muda agar jangan lupa sejarah dan dapat terus memperkukuhkan perpaduan, menghargai kemerdekaan yang telah dikecapi serta memainkan peranan aktif dalam membentuk negara yang sejahtera.

“Anak muda jangan sesekali lupakan sejarah kemerdekaan kerana nilai kemerdekaan itu mampu membentuk jati diri kita dalam mempertahankan negara yang kita cintai.

“Perjuangan datuk nenek kita dahulu adalah untuk kehidupan yang lebih baik buat kita di masa kini dan genarasi muda harus sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni, berusaha untuk meningkatkan diri dan berbakti kepada negara,” jelas beliau.

Seterusnya kata beliau lagi, UMNO juga berperanan merapatkan lagi kerjasama dan penyatuan dalam perpaduan pelbagai kaum dalam negara ini.

“UMNO juga berperanan dalam membentuk Perikatan bersama MCA dan MIC. Perikatan ini menunjukkan kesatuan dalam kalangan kaum utama di Tanah Melayu yang merupakan faktor penting dalam memastikan proses kemerdekaan berjalan lancar dan diterima oleh semua pihak,” ujarnya.

Justeru beliau mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67 dengan ‘Jiwa Merdeka’ buat seluruh rakyat Malaysia. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.