Pembelaan Najib: UMNO Akan Terus Mara Bersandarkan Solidariti, Setiakawan
KUALA LUMPUR, 1 Sept – UMNO akan terus mara dan berusaha untuk memastikan agar mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapatkan pembelaan sewajarnya bersandarkan solidariti dan setiakawan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihak lawan bimbang sekiranya rakyat dan ahli kembali memberi kepercayaan kepada UMNO dan para pemimpin parti.
“Satu perkara yang dibimbangi pihak lawan ialah ‘level’ kepercayaan rakyat dan ahli UMNO pada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali kukuh.
“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 adalah buktinya. Ia dibantu pula dengan kemenangan di Nenggiri. Pada hari penggulungan, Ahmad Zahid lebih fokus, berstruktur dan ‘action oriented’.
“Banyak usul diterima akan dilaksana melalui kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi yang diterajui oleh menteri serta pengerusi dari UMNO,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, usaha Ahmad Zahid untuk memastikan keadilan buat Najib sudah sampai ke ‘siling’ apabila beliau bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membuat affidavit terhadap titah addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Semua jurucakap negeri termasuk Ahmad Zahid bercakap isu pembelaan Najib. UMNO tidak tinggalkan kawan. Zahid bangkitkan isu Najib masa taklimat presiden, penggulungan dan ucapan dasar.
“Usaha Zahid sudah ke ‘siling’. Beliau dan Wan Rosdy sanggup buat affidavit mengenai titah addendum. UMNO bertekad untuk membela Najib walaupun beliau tidak memintanya. Begitu tabahnya UMNO menunggu kepulangan Najib. Ahmad Zahid melewatkan penggulungannya kerana menunggu Nooryana Najwa Najib balik dari penjara waktu itu.
“UMNO akan terus mara bersandarkan setiakawan dan solidariti. Najib kekal simbol kebangkitan. Mahkota medan perang seterusnya. UMNO sudah siap bertempur,” katanya lagi. – UMNO Online