UMNO Beaufort Teruskan Khidmat Bakti, Sebati Laksana Gerak Kerja Turun Padang

BEAUFORT, 13 Ogos – Khidmat bakti dan gerak kerja turun padang sememangnya sebati dengan UMNO dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira masa.

Hal ini direalitikan oleh UMNO Bahagian Beaufort yang menjadikan rakyat sebagai satu keluarga besar dalam UMNO di sini.

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, gerak kerja berterusan dengan melaksanakan apa-apa perkara bersama rakyat khususnya berdamping dengan mereka yang kesusahan dan dilanda musibah adalah antara usaha yang dilaksana.

“UMNO Beaufort tidak pernah berhenti melaksanakan usaha bagi memastikan masyarakat terbela dan mendapat perhatian sewajarnya. Biarpun ada kekangan dan pelbagai cabaran dihadapi namun kita akan berusaha yang terbaik bagi mewujudkan kebersamaan antara UMNO dan masyarakat agar sentiasa akrab,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, gerak kerja dilaksana secara teratur dengan semua ahli jawatankuasa parti memainkan peranan dan saling menyumbang masa dan tenaga bagi mendekati rakyat.

“Jika tidak saya sendiri yang turun ke lapangan maka kita akan gerakkan ahli jawatankuasa bahagian dan juga biro-biro yang ada agar kewujudan UMNO sentiasa dirasai.”

Terbaru beliau memaklumkan sumbangan prihatin telah dilaksana ke peringkat akar umbi dengan berkunjung menziarah ahli keluarga melalui Biro Kebajikan UMNO Beaufort.

“Biro Kebajikan UMNO Beaufort terus menyemarakkan semangat perpaduan dan kekeluargaan dengan melakukan ziarah dan menyantuni rakyat. Ini dilakukan oleh Md Rashid Mathon selaku Pengerusi Biro Kebajikan merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Beaufort bersama ahli jawatankuasa bahagian di sini,” katanya.

Jelasnya, kunjungan ini adalah ziarah ke Kampung Pilajau iaitu kepada keluarga Allahyarham Awang Jambul di samping keluarga Allahyarhamah Sarabanun Baha di Kampung Malabau dan keluarga Allahyarhamah Dg Siti Patmah Nadi di Kampung Kubu Beaufort.

Sebelum itu, di DUN Kuala Penyu, Yahya Larai selaku Ketua PDM Palu-palu merangkap ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Beaufort turut melaksana gerak kerja yang sama ke rumah Allahyarham Aidil Firdaus Mohamed Zamberi di Kampung Purun Ulu yang meninggal akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Bukan itu saja, Awang Aslee memaklumkan sumbangan turut dilaksana melibatkan mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan.

“Hari ini kunjungan dibuat kepada keluarga Aspihen Rahim ekoran bakal melangsungkan majlis perkahwinan anakandanya iaitu Nurhafifah Adi Aspihen di Kampung Pilaja, di sini.

“Kami berharap dengan sumbangan yang diberikan akan dapat membantu meringankan beban keluarga di samping memberikan keceriaan kepada mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit