Rusuhan Di UK: Rakyat Malaysia Perlu Sentiasa Waspada Jauhi Kawasan Protes – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di United Kingdom (UK) untuk sentiasa berwaspada dengan menjauhi kawasan protes dan mengikuti perkembangan terkini diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau ketika dihubungi berkata warganegara yang berada di UK perlu untuk mendaftar kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London bagi memaklumkan keberadaan mereka bagi memastikan mereka dapat dihubungi dan dibantu dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.

“Saya minta rakyat Malaysia yang berada di sana supaya lebih berwaspada dan mengelakkan berada di kawasan protes.

“Dinasihatkan para pelajar ataupun warga kita yang tinggal di sana, bekerja dan sebagainya mendaftarkan keberadaan mereka dengan menghubungi pejabat perwakilan kita yang berada di London.

“Jangan sampai masalah berlaku nanti akan susah untuk menjejaki mereka,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis merangkap Pengerusi Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara berharap rakyat Malaysia boleh menghubungi Wisma Putra, Pejabat Kedutaan yang berada di UK untuk dapatkan maklumat sebenar serta langkah yang perlu dilakukan.

“Dalam konteks ini warganegara kita harus merujuk kepada yang lebih berautoriti seperti Wisma Putra, Pejabat Kedutaan yang berada di UK untuk memperolehi maklumat sebenar.

“Kalau ini dapat dilakukan, mereka akan dapat maklumat yang lebih tepat,” ujar beliau.

Terdahulu, beribu-ribu penunjuk perasaan anti-perkauman turun ke jalanan di beberapa bandar untuk menentang keganasan berunsur perkauman sayap kanan yang menyebabkan polis UK berjaga-jaga.

Rusuhan pada sebelah malam juga semakin kerap, yang mana masjid dan pendatang asing diserang, berlaku di seluruh pekan serta bandar di serata England dan Ireland Utara sejak tiga kanak-kanak dibunuh penyerang bersenjatakan pisau pada 29 Julai lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.